SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh komitmen Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam membanteras jenayah judi di negara ini.
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya bersedia untuk berkongsi maklumat dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha bagi membanteras jenayah judi di negara ini di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, PPIM yang sinonim dalam membanteras penindasan ah long telah lama menyaksikan gejala dan tabiat judi yang menghancurkan masyarakat di negara ini tanpa mengira kaum, agama mahu pun bangsa.
“Sudah tiba masanya rakyat negara ini mengembalikan maruah kita dan bertindak bersama-sama menghapuskan judi dan seterusnya jenayah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi temu bual bersama sebuah akbar sebelum ini, Hamid menyatakan hasrat dan komitmen untuk membanteras aktiviti judi haram yang dilihat punca segala masalah jenayah.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata pihaknya juga mencadangkan supaya polis dan kerajaan mewujudkan sebuah pusat saluran maklumat bagi membolehkan rakyat bersama-sama menyertai kempen banteras judi haram ini.
Beliau berkata, kempen secara serius bagi membanteras budaya judi haram hingga ke peringkat akar umbi perlu disambut baik oleh semua rakyat negara ini bagi memastikan ia mencapai objektif dikehendaki.
“Cadangan ini (wujudkan pusat saluran maklumat) adalah bagi membolehkan data-data dan butiran mereka yang terlibat dalam industri dikumpul serta diselidik bagi mengenal pasti dalang dan pihak terlibat,” katanya.
Tambah beliau, PPIM menyokong penuh komitmen Hamid bagi membanteras budaya judi haram dan akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu membanteras jenayah ini.
Artikel oleh: Sinar Harian
PPIM SEDIA BANTU POLIS BANTERAS JUDI HARAM