Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SOKONG ‘BERSIHKAN’ PDRM – KENYATAAN MEDIA PPIM – 10/10/2023
10 Oct 2023

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh usaha Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang memberi amaran keras terhadap mana-mana pegawai bawahannya yang masih bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata PPIM sentiasa menyokong usaha murni PDRM untuk membanteras rasuah dari dalam pasukan.

“Kami bukan sahaja menyokong, malah bersedia menyalurkan maklumat kepada pihak PDRM dalam usaha Shuhaily menghapuskan rasuah dalam pasukan PDRM,” katanya.

Mengakui apa yang dikatakan Shuhaily dalam satu video yang tular baru-baru ini tepat dan kena pada masanya, Nadzim berkata rakyat sudah tidak ada tempat untuk bergantung untuk perlindungan dari jenayah.

“Jika anggota PDRM sendiri terlibat dengan rasuah, banyak kesannya kepada rakyat. Ke mana rakyat mahu membuat aduan jika anggota bersekongkol dengan penjenayah?” katanya.

Dalam ucapan Shuhaily, beliau memberi amaran kepada semua 130 Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen, Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia yang gagal menjalankan tugas mengikut arahan pasukan PDRM.

Katanya, pegawai terbabit bukan sahaja akan dipindahkan tetapi juga satu notis cadangan dikeluarkan agar tiada kenaikan pangkat diberikan.

“Ini sebab mereka tidak layak diberi tanggungjawab menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi sedangkan dengan pangkat sedia ada pun anda gagal,” katanya.

Menurut Mohd. Shuhaily, jawatan yang disandangnya bukan menjadikan dirinya lebih mulia atau lebih pandai tetapi akan digunakan untuk melaksanakan amanah yang Allah berikan.