Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SOKONG LANGKAH KDN PERKENAL SISTEM TAHANAN RUMAH – KENYATAAN MEDIA PPIM – 11/03/2024
11 Mar 2024

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik usaha kerajaan mengurangkan kesesakan di penjara dengan mempertimbangkan perlaksanaan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, usaha itu mampu mengekalkan produktiviti rakyat Malaysia kerana mereka mampu bekerja dan menjana pendapatan dari rumah.

“PPIM difahamkan, menerusi PBSL, banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah akan menjalani hukuman di rumah mereka,” katanya.

Nadzim berkata PPIM banyak mendapat aduan dari mangsa keldai akaun yang terpaksa mengaku bersalah kerana menyewakan akaun bank kepada pihak ketiga yang menyalahgunakan akaun bank mereka untuk menipu orang ramai.

“Golongan ini (keldai akaun) sebenarnya boleh bekerja dan menjana pendapatan untuk meneruskan kehidupan. Jika di penjara atas kesalahan yang dilakukan oleh mereka secara langsung, mereka tidak lagi produktif malah akan menyebabkan kerajaan menanggung lebih banyak beban di penjara,” katanya.

Nadzim berkata PPIM menyokong penuh usaha Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bersungguh-sungguh mahu menangani masalah kesesakan penjara malah ia sebagai langkah penjimatan kepada negara.

Sebelum ini Saifuddin pernah berkata program yang dijalankan sebelum ini (Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib serta Program Pemulihan Pemasyarakatan) memberi impak positif dengan statistik menunjukkan daripada 800 yang dibebaskan, hanya seorang dimasukkan semula ke penjara.

PPIM percaya peluang kedua yang diberi oleh kerajaan khususnya kepada mangsa keldai akaun, individu berpenyakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu mengandung akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Bagaimanapun Nadzim menegaskan jika ada individu yang mengambil kesempatan dan melakukan kesalahan dalam tempoh tahanan rumah, mereka seharusnya dijatuhi hukuman lebih berat dan denda yang lebih tinggi.

“Jika sudah diberi peluang kedua melalui PBSL dan masih ada yang tidak mengambil iktibar dan terus melakukan jenayah, golongan ini harus diberi hukuman yang lebih berat,” katanya.

Minggu lalu Saifuddin berkata kerajaan secara prinsip bersetuju memulakan PBSL menerusi tahanan di rumah kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara.

Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu dari sudut peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.