KUALA LUMPUR 7 Jun – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong saranan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari agar pengusaha restoran dan hotel mendapatkan pensijilan halal bagi mengoptimumkan industri pelancongan dan makanan di negeri itu.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah yang disarankan Adly itu amat bertepatan kerana cadangan itu bukan sahaja menguntungkan pengusaha industri pelancongan dan makanan negeri, malah pengguna secara keseluruhan.
“Saya tidak nampak bagaimana pensijilan halal merugikan peniaga sedangkan ianya lebih menguntungkan, jika tidak masakan Jepun dan China memberi penekanan kepadanya,
“Jika dilihat di Jepun dan China, kita akan dapati kerajaan kedua-dua negara itu sedang meningkatkan jumlah perniagaan dan perkhidmatan pelancongan halal bagi menarik pelancong ke Asia Barat.” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Saranan yang disuarakan Adly pada 28 Mei lalu mendapat kritikan netizen yang menganggap ia tidak sesuai dilaksanakan di negeri yang dimenangi majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti DAP.
Jelas Adly, pada masa ini, Malaysia menjadi tumpuan para pelancong dari Asia Barat, justeru pengiktirafan halal ini memainkan peranan penting bagi meningkatkan lagi kemasukan pelancong dari benua tersebut ke Melaka. – UTUSAN ONLINE
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
PPIM SOKONG PENSIJILAN HALAL RESTORAN DAN HOTEL