Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan terus memburu sindiket skim pajakan kereta bagi membela nasib pengguna yang teraniaya, kata ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan.
Menurutnya, mengikut maklumat diperolehi masih banyak syarikat yang menjalankan aktiviti itu dengan pelbagai skala perniagaan.
“Kita tengah mengumpul maklumat. Kereta-kereta mangsa ini di merata-rata lokasi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Setakat ini masih dalam siasatan, kita harap kita dapat membuat kenyataan dalam masa terdekat.
“Kita akan bertindak juga bila dapat maklumat nanti, ada syarikat yang 200 unit kereta, 30 unit kereta dan banyak syarikat yang melakukan perniagaan seperti ini” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, lewat petang tadi.
Terdahulu, PPIM diketuai aktivisnya, Yusof Azmi menjalankan satu misi membantu pemilik kereta yang didakwa teraniaya dengan skim pajakan kereta oleh sebuah syarikat di Seri Kembangan.
Modus operandi syarikat tersebut didakwa menggunakan kaedah sambung bayar kereta menerusi satu perjanjian yang sebenarnya tidak memdatangkan sebarang nilai kepada pemiliknya.
Pemilik kenderaan dijanjikan kereta yang mereka pajak itu mempunyai penyewa dan mereka tidak akan mempunyai masalah pembiayaan dengan institusi kewangan.
Misi yang dilakukan 11 Julai lalu itu menjadi viral selepas video aktivis PPIM membantu mangsa mendapatkan semula kereta tersebar luas di media sosial.
Video tersebut mempaparkan bagaimana aktivis PPIM berdepan dengan kakitangan syarikat terbabit melibatkan insiden perang mulut, merobohkan pagar premis dan mengambil semula kereta milik mangsa.
PPIM dilaporkan berjaya membantu kira-kira 60 pemilik mendapatkan kenderaan masing-masing, namun berdasarkan aduan masih terdapat kira-kira 1,440 buah kereta dalam simpanan syarikat berkenaan.
Sementara itu mengulas insiden yang kini di bawah siasatan pihak polis itu, Nadzim berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama.
“Kita diberitahu, aktivis kami akan dipanggil pihak polis dalam masa terdekat. Setakat ini belum lagi. Kita akan tunggu perkembangan dari semasa ke semasa.
“Siasatan melibatkan isu pencerobohan, kita perlu selesaikan juga. Kalau tidak kita dilabel sebagai penceroboh, ramailah yang ceroboh lebih 100 orang,” katanya.
Tambah beliau, PPIM berharap perbincangan lanjut dapat dilakukan dengan pihak terbabit termasuk institusi kewangan yang terlibat bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Kini kita masih lagi menunggu perkembangan lanjut dan kita berharap apa pun yang dilakukan tidak merugikan pengguna. Kita nak situasi menang-menang dan tidak ada unsur penganiayaan.
“Tindakan yang kita ambil… keadaan ini bukan yang terbaik. Tetapi dalam keadaan yang tidak terbaik ini kita kena buat sesuatu penyelesaian yang terbaik,” kata Nadzim
https://www.malaysiakini.com/news/388473