Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM ULANGI PENDIRIAN, TIADA SEBARANG KAITAN DENGAN GEM – HARIAN METRO – 28/02/2026
02 Mar 2026

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengulangi pendirian pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan atau hubungan rasmi dengan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM).

PPIM dalam satu kenyataan berkata, GEM bukan gabungan di bawahnya dan tidak pernah mewakili PPIM dalam mana-mana urusan atau aktiviti.

“PPIM mengambil maklum bahawa sehingga kini masih terdapat kekeliruan dalam kalangan segelintir pihak yang beranggapan bahawa GEM mempunyai kaitan dengan pihak kami.

“Bagi mengelakkan sebarang salah faham yang berterusan, PPIM ingin menegaskan semula pendirian kami sebagaimana kenyataan yang telah dikeluarkan pada 26 Ogos 2025.

“PPIM ingin menjelaskan bahawa kami tiada sebarang kaitan mahupun hubungan rasmi dengan GEM,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya tiada kaitan dengan GEM seperti heboh diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Nadzim berkata, GEM pernah bernaung di bawah PPIM ketika awal penubuhan, namun selepas itu bergerak sendiri tanpa rujukan atau nasihat daripada pihaknya.

Mengulas lanjut, PPIM turut menasihatkan mana-mana pihak agar tidak terpedaya sekiranya terdapat dakwaan yang mengatakan GEM berada di bawah naungan mereka.

“Selain itu, semakan terkini kami mendapati status pendaftaran GEM masih kekal sebagaimana tahun lalu, iaitu sebagai sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar.

“Pihak kami sekadar ingin mengingatkan bahawa mengikut Akta Pertubuhan 1966, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjalankan aktiviti sebagai sebuah pertubuhan tanpa pendaftaran yang sah,” katanya

PPIM berkata, pihaknya sentiasa menghormati usaha mana-mana pihak dalam memperjuangkan nasib komuniti, namun penjelasan dibuatnya itu perlu dilakukan demi menjaga kepentingan dan kejelasan peranan masing-masing agar tidak timbul implikasi pada masa hadapan.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM ULANGI PENDIRIAN, TIADA SEBARANG KAITAN DENGAN GEM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/03/1328115/ppim-ulangi-pendirian-tiada-sebarang-kaitan-dengan-gem