AWANG rasa pelik juga jawapan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) berhubung kes peletakan jawatan Profesor Dr Edmund Terence Gomez.
Menurut Tan Sri Borhan Dollah, Dr Gomez tidak nyatakan mengapa beliau meminta diadakan mesyuarat mengenai isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi Awang, yang penting bukan cara Dr Gomez bangkitkan hal itu tapi mengapa beliau berbuat demikian.
Awang juga rasa pelik Borhan kata, PPPR bukan badan penyiasat. Tiada siapa yang kata PPPR badan penyiasat.
Apa yang rakyat mahukan adalah untuk PPPR nyatakan pendirian mengenai soal integriti SPRM.
Awang terbaca salah seorang anggota PPPR, Datuk Nadzim Johan yang dilaporkan berkata bahawa panel PPPR juga “tertanya-tanya” apa yang berlaku.
Nadzim juga berkata, duit dalam simpanan SPRM hilang pun tidak berjawab.
Rakyat harapkan SPRM jadi badan yang sebenarnya bebas dan berintegriti.
Kita semua tahu bahawa dalam kes banjir yang berlaku baru-baru ini, ada elemen yang mencurigakan berlaku.
Ada kawasan perumahan yang muncul di tempat yang tidak sepatutnya. Ada tempat yang patut jadi tempat takungan air di Kuala Lumpur tetapi ditukar jadi projek pembangunan.
Semua itu mesti bermula dari SPRM yang bersih yang akan bertindak bersih dengan membuat siasatan yang bersih.
Oleh sebab itu, kepimpinannya mesti kelihatan bersih.
Artikel oleh: Sinar Harian
PPPR BUKAN BADAN PENYIASAT
https://premium.sinarharian.com.my/article/180218/karya-sinar-/pojok/pppr-bukan-badan-penyiasat