SENTUL: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) merayu kerajaan melonggarkan syarat permohonan pekerja asing yang menyebabkan industri mereka terjejas.
Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata ia berikutan lebih 3,000 restoran mamak ditutup dan lebih 300 kedai runcit ditutup akibat kekurangan tenaga kerja.
Katanya, perlu dilihat dalam aspek praktikaliti untuk perniagaan, walau pun isu ini agak sensitif.
“Namun restoran mamak, runcit dan pemborong tidak ada pilihan kerana kurangnya tenaga kerja tempatan yang mahu bekerja dalam bidang ini.
“Hanya yang melaluinya sahaja yang tahu betapa peritnya untuk meneruskan perniagaan ini, penutupan premis turut memberikan kesan kepada seluruh rangkaian pembekalan makanan seperti bahan mentah, sayur, minyak dan lain-lain yang majoritinya diusahakan adalah rakyat kita.
“Sebelum ini permohonan pekerja asing amat ketat dan jumlah pekerja asing di sektor restoran tidak sampai tiga peratus, kami memerlukan 30,000 pekerja untuk penempatan 12,000 restoran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sidang media itu dibuat bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Pengusaha India Malaysia (PRIMAS) dan Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR).
Dalam pada itu, Jawahar meminta proses permohonan pekerja asing dilanjutkan tempoh daftar pekerja asing yang akan tamat 14 Ogos ini.
“Kami berharap ia dilanjutkan dua bulan lagi iaitu pada Oktober 2022 sebelum pindaan dasar-dasar lain diperkenalkan.
“Ini kerana baharu 30 peratus ahli persatuan terima kelulusan pekerja asing.
“Baki sebanyak 70 peratus permohonan masih berada dalam sistem dan ada setengah ahli ingin membuat permohonan kerana kekurangan dokumen yang diperlukan, ia ambil masa lama untuk menyediakan dokumen berkenaan.
“Sebagai contoh penyata caruman KWSP dan penyata bank memerlukan tiga bulan penyata.
“Sehubungan itu, penangguhan permohonan yang diumumkan pihak kerajaan akan membawa impak besar kerana kekurangan tenaga kerja di semua sektor,” katanya.
Artikel oleh: Media Variasi
PRESMA GESA LONGGAR SYARAT MOHON PEKERJA ASING
https://mediavariasi.com/2022/08/presma-gesa-longgar-syarat-mohon-pekerja-asing/