Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PRN JOHOR BUKAN PERKARA LUAR BIASA BAGI UMNO, KATA ZAHID HAMIDI – FREE MALAYSIA TODAY – 14/01/2022
18 Jan 2022

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukanlah suatu perkara luar biasa untuk partinya menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, jentera parti itu sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku dalam pilihan raya.

“Bila dan apa juga keputusan yang dibuat SPR kita akan mematuhi sepenuhnya. Jentera kita telah melakukan pendekatan ‘operational’ sejak beberapa lama lalu terutama ketika pilihan raya kecil (PRK) di beberapa tempat.

“Untuk PRN jadi, ini bukan sesuatu berada dalam keluarbiasaan sekiranya PRN Johor itu diarahkan,” katanya ketika ditemui selepas menerima memorandum daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membantah pindaan Akta 342 di ibu pejabat Umno.

Zahid berkata, rakyat sudah tentu mahu keputusan lebih baik untuk Umno daripada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan PRN.

Beliau berkata, tahap keyakinan Umno pula mesti berdasarkan kepada sains dan data.

“Jadi sebelum pembubaran kami tidak boleh mengatakan keyakinan atau sebaliknya tetapi saya fikir tentu rakyat mahu keputusan lebih baik daripada PRN atau PRU14,” katanya.

Pada 10 Jan lalu, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad seolah-olah tidak menafikan khabar angin yang mendakwa PRN di negeri berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya kelihatan terbuka selain memaklumkan bahawa beliau perlu memantau dan melihat keadaan semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu, turut mengakui bahawa kerajaan negeri ‘tidak suka’ dengan istilah “satu” yang merujuk kepada kelebihan satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Zahid enggan mengulas ketika ditanya sama ada PRN Johor sesuai diadakan pada waktu terdekat ini.

“Tak apa, tak apa,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada dalam Umno terdapat dua kem, Zahid menafikannya.

“Apa kem. Tak, Umno tak ada kem. Dakwaan daripada siapa?” soalnya.

Artikel oleh: Free Malaysia Today

PRN JOHOR BUKAN PERKARA LUAR BIASA BAGI UMNO, KATA ZAHID HAMIDI

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/01/14/prn-johor-bukan-perkara-luar-biasa-bagi-umno-kata-zahid/