PUTRAJAYA: Rumah sembelihan haiwan Thomas Foods International (TFI) di Lobethal, Australia menafikan pihaknya tidak mematuhi protokol halal dan operasi penyembelihan menyalahi tatacara prosedur operasi standard (SOP) sebenar.
Dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia menerusi emel, TFI menegaskan, mereka telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut dan mendapati operasi penyembelihan haiwan mematuhi semua akreditasi halal yang diperlukan.
Katanya, siasatan dijalankan dengan penglibatan penuh pihak berkepentingan dan pengawal selia berkaitan.
Kenyataan itu menjelaskan, TFI yang membekalkan daging berkualiti tinggi untuk pasaran Malaysia mengikut garis panduan halal dan kebajikan haiwan, sekali gus menafikan dakwaan kaedah sembelihan mereka bercanggah dengan peraturan itu.
“Kami mematuhi penuh semua akreditasi halal yang diperlukan. Loji kami sentiasa diaudit dan telah lulus audit halal menerusi audit terbaharu dijalankan pada bulan Mac dan April tahun ini.
“Dakwaan tersebut didapati tidak benar dan memberi gambaran yang salah terhadap syarikat kami. Kami menolak sepenuhnya dakwaan palsu ini,” katanya di sini semalam.
Jakim
Mengikut rekod, TFI adalah salah satu pusat penyembelihan di Selatan Australia dalam senarai diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat perakuan badan pensijilan halal luar negara di Australia, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc (SICHMA).
Sebelum ini, Utusan Malaysia 14 April lalu mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam menerusi bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah daripada binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.
Pendedahan itu adalah berdasarkan pengakuan sebenar sumber utama iaitu seorang bekas pekerja yang merupakan penyembelih di syarikat rumah sembelihan berkenaan yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri prosedur penyembelihan tidak mematuhi protokol sah halal dan segala cara sembelihan adalah jijik serta kotor.
Selepas pendedahan itu, sumber dikenali sebagai Abdullah tampil membuat pengakuan terbuka dan menceritakan hal sebenar menerusi satu sidang akhbar yang dianjurkan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) bersama Sahaba 99, di Kuala Lumpur kelmarin bagi menjawab kenyataan
Jakim pada 14 April lalu yang bercanggah dengan situasi sebenar apabila jabatan itu mengesahkan tidak ada perlanggaran protokol halal berlaku di TFI.
Pengakuan Abdullah itu kemudiannya disiarkan secara meluas oleh media tempatan dan Jakim sekali lagi tampil dengan kenyataan bahawa siasatan berhubung dakwaan ini sedang dijalankan oleh Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan juga pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE).
Ia sekali gus bercanggah dengan kenyataan awal Jakim yang mengesahkan TFI mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia serta peraturan ke atas haiwan ditetapkan pihak berkuasa Australia selepas pegawai Atase Halal Jakim di Canberra menjalankan audit berkala ke atas TFI pada 2 Mac lalu.
Rakaman video
Sementara itu, sumber utama yang juga bekas pekerja penyembelih di rumah sembelihan Thomas Foods International (TFI) yang dikenali sebagai Abdullah menegaskan, segala dakwaan yang dibuat melalui bukti bergambar dan rakaman video adalah benar.
Dia yang bersumpah menyaksikan sendiri salah laku cara sembelihan yang
melanggar protokol halal dan jijik itu mengakui semua dakwaan berkenaan berlaku
sepanjang bekerja di sana sehinggalah dipecat baru-baru ini.
Abdullah menjelaskan, semua bukti itu dirakam menerusi telefon pintarnya,
iPhone yang mempunyai maklumat lengkap berdasarkan masa, tarikh dan lokasi
kejadian.
“Semuanya jelas dan tepat. Jika anda fikir saya membuat kesaksian palsu, jika
anda fikir saya berbohong, iPhone saya tidak berbohong. Lokasi, masa dan tarikh
Apple tidak berbohong.
“Syarikat ini telah mengedarkan daging yang tidak boleh dipercayai, syarikat ini tidak menyembelih daging halal. Saya tidak makan daging mereka dan saya akan mengesyorkan mana-mana orang Islam untuk tidak membeli daging mereka.
“Saya mengambil gambar hanya beberapa amalan syarikat ini, banyak perkara yang lebih buruk berlaku yang anda tidak tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam satu maklum balas kepada Utusan Malaysia menerusi emel, TFI menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan ditujukan terhadap syarikat rumah sembelihan di Lobethal, Australia itu berhubung isu ketidakpatuhan protokol halal dan operasi penyembelihan menyalahi tatacara prosedur operasi standard (SOP) sebenar.
TFI memaklumkan, pihaknya telah menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap dakwaan yang dibuat termasuk penyiasatan dijalankan dengan penglibatan penuh pihak berkepentingan dan pengawal selia berkaitan.
TFI turut mendakwa, pihaknya mematuhi penuh semua akreditasi halal yang diperlukan dan loji sentiasa diaudit dan lulus audit halal menerusi audit terbaharu pada Mac dan April tahun ini.
Pandang remeh
Dalam pada itu, seorang sumber dari perunding halal antarabangsa di Malaysia menyifatkan, kenyataan TFI itu mengejutkan sekali gus memberi gambaran pihak syarikat itu memandang remeh isu yang sedang dibangkitkan.
Katanya, mereka seolah-olah menganggap orang Islam di Malaysia dungu untuk menerima bulat-bulat kenyataan mereka walaupun telah dikemukakan bukti kukuh yang mana pihak TFI telah menyajikan rakyat Malaysia dan Singapura daging bangkai.
Beliau yang turut terlibat dalam siasatan itu berkata, pihaknya akan memastikan bahawa keadilan kepada industri halal dan para pengguna diutamakan.
“Video ada, timestamp dan location stamp di Apple phone pun ada, itu pun mereka nak menafikan. Pihak TFI benar-benar menghina kepakaran kita.
“Kami berpegang kepada pendirian kami untuk terus mempertahankan standard dan etika yang kukuh dalam persekitaran halal.
“Kami mengecam sepenuhnya tertuduh kerana tidak mengambil serius perkara ini. Perbuatan cara sembelihan itu amat mengerikan, cuai dan langsung tidak bertanggungjawab. Kami menuntut siasatan menyeluruh dan supaya tindakan terhadap mereka dipercepatkan,” katanya. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PROTOKOL PENYEMBELIHAN HALAL: SIAPA BETUL?
https://www.utusan.com.my/berita/2022/05/protokol-penyembelihan-halal-siapa-betul/