SHAH ALAM – Manifesto merupakan satu perkara yang sangat penting dan agenda di dalamnya perlu dilaksanakan dengan baik sebagai menunaikan janji kepada rakyat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pelaksanaan menunaikan manifesto adalah satu kewajipan kerana ia merupakan janji-janji yang ditaburkan kepada rakyat sepanjang proses berkempen.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Tokki berkata, seorang pemimpin yang bagus adalah mereka mempunyai akhlak mulia, bukan seorang yang munafik, berpegang pada janji, bersungguh-sungguh serta berikhtiar menunaikan segala dijanjikan.

Sebagai Melayu Islam, sepatutnya mereka berasa malu sekiranya buat tidak betul dan tidak menunaikan apa yang telah kita janjikan. Ia berkait rapat dengan ajaran yang dianjurkan oleh semua agama untuk menunaikan janji.

“PPIM mahu rakyat dijaga sebaiknya oleh pemimpin negara kerana mereka telah berhadapan dengan pelbagai kesusahan yang cukup dahsyat untuk tempoh dua tahun lalu.

“Maka matlamat kita mengundi ini bukan saja-saja hendak memilih tetapi kita mahu mencari orang yang akan menjaga diri kita dan membawa negara ke tahap yang jauh lebih baik,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk ‘Drama Raih Undi Bermula’ yang dihoskan Asmaliza Mansor dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, parti yang berjaya dipilih perlu melaksanakan manifesto seperti apa dijanjikan dan mengikut perlembagaan negara.

Tegas beliau, pelaksanana manifesto tersebut perlu mengikut budaya di Malaysia, malah perlu bersandarkan pada Rukun Negara serta Perlembagaan.

Sebagai contoh katanya, Islam adalah agama rasmi negara, maka mana-mana perkara dan fahaman yang bertentangan dengannya seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), New World Order, One World Government atau One World Religion tidak boleh diterjemahkan di negara ini.

“Sekiranya perkara seumpama ini dituntut, maka kita sama sekali tidak boleh menyokong. Rakyat perlu bersama-sama dan sentiasa memantau golongan pemimpin seumpama ini,” katanya.

No Image Caption

Sementara itu, beliau berkata, terdapat perbezaan ketara antara ahli politik dahulu dan masa kini apabila perasaan malu seakan sudah tidak lagi diambil perhatian oleh golongan tersebut.

Jelasnya, ada kumpulan ahli politik dengan sengaja mengambil kesempatan secara luar biasa dan tidak kurang juga yang terlibat dengan kezaliman.

Sebagai contoh katanya, ahli politik terdahulu masih ada perasaan malu untuk membuat sesuatu yang dirasakan salah kerana takut perbuatannya itu terbongkar.

Namun ahli politik pada masa sekarang katanya, mereka kurang mengendahkan tentang kekhuatiran atau berasa malu dengan apa yang akan berlaku sekiranya diketahui ramai.

“Kita tidak macam masyarakat Jepun yang sangat menitik berat tentang maruah. Jika tidak betul, dia sendiri akan berhenti dan tarik diri.

“Tetapi kita di sini tidak seperti itu, sedangkan Islam bercakap tentang akhlak. Kita kena ada sifat malu supaya ia tidak memalukan kita sendiri.

“Ahli politik kita bila tidak menunaikan janji, mereka tidak berasa malu. Bila bercakap bohong pun tidak malu. Malah manifesto yang tidak ditunaikan pun masih tidak berasa malu. Buat salah tetapi masih boleh tersenyum, tanpa rasa tidak ada apa-apa,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PRU15: TUNAIKAN MANIFESTO, JANJI KEPADA RAKYAT

https://www.sinarharian.com.my/article/230475/khas/rasuah-busters/hendak-pilih-pemimpin-sama-seperti-cari-pasangan-hidup