Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PUASA ASYURA, TULISAN JAWI – UTUSAN MALAYSIA – 06/09/2019
06 Sep 2019

Hari ini kita sudah berada pada 6 Muharam 1441 Hijrah. Memang cepat masa berlalu. Sedar atau tidak, umur kita semakin meningkat. Semakin dekat kita untuk kembali menemui Allah Rabbul Jalil. Persoalannya, cukupkah sudah bekalan kita untuk dibawa ke hari akhirat? Sempurnakah sudah solat, puasa, zakat dan kefarduan lain?

Justeru, marilah kita merebut peluang menambah amalan dalam bulan Muharam ini antaranya dengan berpuasa sunat. Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadan adalah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharam. Sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat sunat di waktu malam.” (Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, Bab Fadhl Sawm al-Muharram)

Antara hari yang amat digalakkan berpuasa adalah hari Asyura atau hari ke-10 Muharam yang jatuh Selasa ini. Kelebihannya adalah ganjaran iaitu menghapuskan dosa setahun yang lalu. Abu Qotadah Al-Ansory berkata, Nabi SAW ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah? Baginda menjawab, “Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Baginda juga ditanya mengenai keistimewaan puasa Asyura? Baginda menjawab, “Puasa Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Muslim)

Bagi orang mukmin, kita digalakkan menambah puasa sunat sehari sebelum puasa Asyura. Ia bertujuan membezakan dengan puasa orang Yahudi dan Kristian. Abdullah bin Abbas r.a berkata: Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh manusia berpuasa padanya, para sahabat berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya ia merupakan hari yang orang Yahudi dan Kristian agungkan. Baginda SAW menjawab: “Pada tahun hadapan, insya-Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan Muharam. Akan tetapi, pada tahun berikutnya Rasulullah SAW wafat.” (Riwayat Muslim)

Semoga kita diberi kekuatan melaksanakan ibadat puasa sunat Muharam selain melipatgandakan amalan lain termasuk qiamullail. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya bangun berqiamullail dan memberi khabar gembira kepada sesiapa yang melakukannya iaitu mendapat kemuliaan daripada Allah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu melakukan qiamullail, kerana qiamullail adalah kebiasaan orang-orang yang soleh sebelum kamu, kerana qiamulail mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan-kesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Bercakap tentang hijrah, maka kita disuruh sentiasa memperbaiki diri termasuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Ini juga bertepatan dengan hadis Rasullullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini adalah lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan semalam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk itu, kita menyokong saranan Presiden Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED), Datuk Nazilah Idris yang menggesa kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam. Ini kerana tulisan Jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna mengenai status halal sesuatu produk.

Ia susulan penentangan pihak pengeluar bukan Islam terhadap perancangan kerajaan bagi memperkenalkan tulisan Jawi dalam kurikulum tahun empat untuk sekolah vernakular. Antara yang turut lantang membantah adalah Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong). Pada 10 Ogos lalu, Dong Zong melancarkan petisyen membantah pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular atas alasan ia tidak diterima oleh komuniti bukan Islam dan mendakwa ia bercanggah dengan Artikel 12 (3) Perlembagaan Persekutuan. Mereka juga mendakwa ia adalah langkah islamisasi.

Yang menghairankan dalam mereka membantah pelaksanaan di sekolah, pengeluar bukan Islam ini pula tanpa segan silu menggunakan tulisan Jawi pada produk makanan mereka. Lebih daripada itu, mereka menggunakan nama atau cap berunsur Islam seperti masjid. Semua ini bagi mengelabui mata umat Islam agar menggunakan produk mereka.

Barangkali sudah sampai masanya hanya produk keluaran Muslim dibenar menggunakan tulisan Jawi. Sebabnya, Islam menyuruh kita mencari sumber makanan yang halal lagi baik serta suci. Sebabnya setiap yang kita makan itu akan menjadi darah daging.

Mengulas isu sama, Ketua Aktivis Persatuan Penguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata: “Kita setuju dengan pendapat mereka yang meletakkan tulisan Jawi sebagai identifikasi Islam jadi produk bukan Islam sepatutnya dilarang sama sekali daripada menggunakan tulisan Jawi pada bungkusan, iklan, papan tanda kedai, dan apa sahaja label perniagaan bukan Islam.”

Mengambil semangat hijrah, eloklah umat Islam mengutamakan produk keluaran Muslim berbanding kaum lain. Dengan demikian kehalalannya terjamin selain dapat membantu memperkukuhkan ekonomi orang Islam di Malaysia.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PUASA ASYURA, TULISAN JAWI

https://www.utusan.com.my/rencana/utama/puasa-asyura-8232-tulisan-jawi-1.966063