Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Punca belum dikenal pasti – Berita Harian Online – 15/9/2017
18 Sep 2017

Snapshot(14)

KUALA LUMPUR: Punca utama kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, di sini, masih sedang dikenal pasti oleh polis dan bomba.

Setakat ini pihak polis sedang meneliti pelbagai aspek berdasarkan maklumat siasatan Unit Forensik Polis dan Unit Forensik Bomba.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Shariff, berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai punca kebakaran itu.

“Pihak kami masih lagi mengesan beberapa saksi terutama pelajar dan guru yang terselamat untuk mendapatkan maklumat dan situasi sebelum dan semasa kebakaran berlaku.

“Selepas mendapatkan maklumat dari mereka selain digabungkan dengan laporan siasatan forensik, mungkin kita akan memperoleh keputusan mengenai punca kejadian,” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Beliau tidak menolak ada percanggahan laporan oleh pihak media serta kenyataan oleh pihak berkuasa di lokasi kejadian, namun pada masa ini siasatan masih dibuat.

“Ada antara saksi dan mangsa yang sedang dikesan memberikan kenyataan kepada media, namun sebaliknya mereka masih belum tampil memberikan maklumat kepada polis.

“Kami yakin motif dan punca kejadian akan dikenal pasti apabila semua maklumat sudah diperolehi,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian BH di lokasi kejadian hari ini, beberapa pegawai dan anggota polis menjalankan pemeriksaan dan penyiasatan di sekitar pusat tahfiz dan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan.

Ini termasuk memeriksa pagar kawat yang dipercayai mempunyai kesan pencerobohan sama ada oleh orang luar atau pelajar pusat tahfiz berkenaan.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/09/325892/punca-belum-dikenal-pasti