Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RAHSIA DUIT BERGANDA – HARIAN METRO – 19/08/2020
19 Aug 2020

Menjanjikan keuntungan sehingga 30 peratus, satu sindiket pelaburan saham dan pertukaran matawang asing (forex) giat menyasarkan penuntut pusat pengajian tinggi dan golongan profesional melabur dalam skim ditawarkan mereka. Setakat ini, lebih 20,000 peserta menjadi mangsa kegiatan itu dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM220 juta.

Menyasarkan penuntut universiti dan pusat pengajian tinggi, satu sindiket pelaburan saham serta pertukaran asing (forex) memperdaya lebih 20,000 peserta dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM220 juta.

Selain penuntut, antara mangsa terperdaya termasuk jurutera, guru, ahli perniagaan dan doktor yang melabur antara RM50,000 hingga RM200,000 setiap seorang sejak empat tahun lalu.

Seorang mangsa, Zikri, 40-an berkata, dia diperkenalkan skim terbabit melalui seorang rakan pada 2016 dan melabur RM50,000 serta mendapat keuntungan awal 30 peratus.

Katanya, tidak lama kemudian, dia diminta menyertai kumpulan seorang pengurus berpangkalan di China dan mengetahui siapa individu itu, wang pelaburan diserahkan dengan tawaran keuntungan yang menarik.

“Pada awalnya semuanya baik saja. Kebanyakan yang menyertai skim ini mereka yang biasa dengan dagangan matawang. Dalam rangkaian ini ada pelbagai latar belakang, ada pelajar universiti dan golongan profesional yang semua ditipu oleh pengasas skim forex ini.

“Paling terkesan ialah anak muda yang baru membuat pinjaman sama ada pinjaman peribadi atau pembiayaan pengajian. Sekarang kami juga berjuang untuk mendapatkan semula wang kami,” katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Nadzim berkata, menerusi aduan diterima, pihaknya turut dimaklumkan modus operandi sindiket yang menjadikan beberapa lokasi strategik di ibu negara seperti pusat perniagaan dan hotel sebagai pusat operasi.

Beliau meminta Bank Negara Malaysia menyiasat perkara itu kerana pelaburan berasaskan forex bukan perkara baharu di negara ini, malah PPIM sendiri menerima aduan berkaitan sejak lima tahun lalu.

“Skim ini sama seperti yang lain sebelum ini. Semua di belakangnya ada scammer (penipu) yang mengatur jalan memperdaya mangsa.

“Untuk kes ini, jumlah kerugian tinggi, lebih RM200 juta. Ada penuntut terbabit tidak berani keluar rumah kerana kini terpaksa berhutang ratusan ribu ringgit walaupun baru berusia bawah 20 tahun.

“PPIM sudah merujuk kepada polis untuk tindakan lanjut dan kami minta pengadu membuat laporan polis dengan menyertakan dokumen sokongan untuk siasatan,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

RAHSIA DUIT BERGANDA