Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RAJA SAMSUL DICARI – HARIAN METRO – 25/7/2017
25 Jul 2017

harian metro 25.7.2017 2

PPIM, AGR DAPAT JALAN PENYELESAIAN BANTU NASIB PEMILIK KENDERAAN

Pemilik kenderaan boleh membatalkan kontrak pajakan kenderaan yang dibuat dengan syarikat AGR Auto Trade Sdn Berhad (AGR) sekali gus mendapat semula kenderaan mereka selepas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengadakan perbincangan bersama syarikat itu, semalam.

Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi berkata, lebih 50 pemilik kenderaan hadir bersama PPIM bagi menuntut semula kenderaan mereka di pejabat AGR di Seri Kembangan.

“Perbincangan ini diadakan secara damai dan pihak AGR menerima baik kehadiran kami. Selepas berbincang, kami menemui jalan penyelesaian di mana pemajak boleh mengambil semula kenderaan dan kunci pendua mereka sebelum dibenarkan untuk membatalkan kontrak.

“Hari ini (semalam), lima kereta diambil semula oleh pemajak dan 53 kunci pendua diserahkan kepada mereka (pemajak),” katanya.

Menurutnya, kemungkinan terdapat skim penipuan yang membabitkan pemilik AGR terdahulu menyebabkan pemajak terpaksa menanggung kerugian.

“Kita diberitahu, Ketua Pegawai Eksekutif AGR Datuk Seri C Kamaleshwaran baru mengambilalih syarikat ini, 1 Mei. Oleh itu, kami akan cuba mencari dalang penipuan yang dikenali sebagai ‘Raja Samsul’ bagi menjelaskan isu kerugian yang ditanggung pemajak,” katanya.

Kamaleshwaran yang ditemui selepas perbincangan itu berkata, dia sedia kerjasama dengan pemajak untuk memberikan maklumat mengenai penyewa bagi menuntut semula kenderaan mereka.

“Ia di luar bidang kuasa saya jika penyewa enggan menyerahkan semula kereta kerana bukan saya yang membatalkan kontrak sebaliknya pemajak.

“Justeru, pemajak boleh membuat laporan mengenai hal itu. Jika pemajak mahu ambil semula kereta, saya tidak dapat menghalang mereka.

“Saya akan serahkan semula kunci dan kenderaan yang ada pada saya hari ini jika si pemajak menuntut hak mereka,” katanya.

Menurutnya, dia akan cuba menghubungi pemilik syarikat lama untuk membantu menyelesaikan masalah yang dilakukan sebelum ini.

“Saya dan PPIM akan bekerjasama untuk mencari Raja Samsul bagi menyelesaikan masalah kenderaan lain yang tidak dapat dikenal pasti lokasinya.

“Kami akan berjumpa dengannya untuk mengambil kereta pajakan termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, pemajak kereta yang hanya mahu dikenali sebagai Shahirah, 26, berkata, dia berjaya mendapatkan semula Proton Iriz dipajaknya.

“Sudah lama saya mahu mengambil semula kereta ini kerana saya tidak pernah memandunya selepas ia dibeli kerana terus dipajak kepada AGR untuk mendapatkan untung.

“Bagaimanapun, masih ada dua kenderaan milik saya yang tidak ditemui dan saya perlu mencari penyewa selepas batalkan kontrak dengan AGR,” katanya ketika ditemui.

KEMELUT PPIM, AGR SELESAI

Serdang: Polis menutup siasatan isu dakwaan penipuan pajakan kereta yang dikemukakan oleh Persatuan Pengguna Islam (PPIM) terhadap Auto Trade Sdn Berhad (AGR) selepas kes itu dirujuk sebagai kes sivil.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, siasatan kes itu sudah selesai sebaik perjumpaan diadakan kedua-dua pihak di pejabat AGR di Seri Kembangan di sini, semalam.

“Siasatan kes itu sudah selesai dan ia dirujuk sebagai kes sivil. Pemilik kenderaan kena ambil tindakan sivil terhadap syarikat terbabit.

“Justeru, kami (polis) menutup siasatan kes berkenaan,” katanya.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, pihaknya memantau rapi kes berkenaan termasuk turun padang bagi memastikan perjumpaan kedua-dua pihak yang dijalankan semalam, berjalan lancar.

“Kehadiran kami di lokasi perjumpaan itu bagi memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan perbincangan berjalan lancar.

“Sepanjang perjumpaan itu, tidak ada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan pihaknya tidak mengambil tindakan berhubung aduan kegagalan pemilik kereta menuntut semula kereta dipajak kepada AGR seperti didakwa PPIM.