PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merekodkan kerugian dialami rakyat Malaysia mencecah RM1.8 bilion membabitkan kes ceti haram, keldai akaun dan ‘scam’.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, faktor sikap menjadi punca utama mengapa masih ada mangsa bagi kes berkenaan termasuk mereka yang terperangkap dengan kes berulang dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini.
Katanya, secara purata, sebanyak 30 kes along diterima pihaknya setiap hari dengan nilai minimum pinjaman RM20,000 dengan sebahagian besarnya sudah diselesaikan secara rundingan bersama ceti haram terbabit.
“Untuk keldai akaun, kita ada beratus-ratus mangsa dengan nilai kerugian RM1 bilion dan jumlah itu semakin bertambah setiap hari. Saya yakin, lebih ramai lagi mangsa akan tampil selepas ini kerana mereka mula nampak jalan penyelesaian.
“Paling tidak, tempat untuk mengadu kerana sebelum ini, mereka tidak tahu kepada siapa hendak dirujuk. Ikutkan laporan polis, memang banyak dan kes seperti ini agak mengambil masa untuk diselesaikan. Ada juga kes yang sudah berjalan di mahkamah,” katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, pihaknya juga menerima aduan mengenai pelbagai jenis penipuan terutama mereka yang berurusan secara online dan media sosial.
Katanya, semua aduan yang direkodkan akan dirujuk kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan dan pengguna mendapat pembelaan sewajarnya.
“Untuk tahun ini (2020), kita akan pelbagaikan bentuk kempen kepenggunaan iaitu memastikan agar pengguna peduli dengan hak mereka dan tahu apa tindakan perlu diambil sekiranya berdepan masalah.
“Di Malaysia, tahap kesedaran juga satu isu, ada yang tahu berdepan masalah tidak mahu buat laporan. Ada juga yang buat laporan beberapa kali, tapi tiada tindakan. Jadi saya rasa penting untuk kita semua tahu hak dan peranan masing-masing demi kebaikan bersama,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
RAKYAT MALAYSIA RUGI RM1.8 BILION
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/01/531357/rakyat-malaysia-rugi-rm18-bilion