Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RAKYAT TERUS SAMBUT BAIK PAKEJ PERPADUAN, MAMPU KURANG KOS BULANAN – GETARAN.MY – 24/12/2022
27 Dec 2022

KUALA LUMPUR – Walaupun kurang sebulan bertugas, usaha barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan perkhidmatan mendapat respon baik pelbagai pihak, terutama untuk menangani isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

Usaha itu dapat dilihat menerusi beberapa program, termasuk pengumuman dibuat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil baru-baru ini, berhubung pelan prabayar internet mudah alih dikenali Pakej Perpaduan ditawarkan kerajaan yang lebih murah dan pantas.

Menerusi maklum balas diterima Getaran daripada kumpulan sasaran ditetapkan untuk menerima tawaran terbabit, respon diberikan cukup baik malah mereka teruja dengan usaha itu.

Pengerusi Persatuan Orang Kelainan Upaya Bentong (POKUB), Mohd Huzaire Ahmad berkata, insiatif Kerajaan Perpaduan dalam memberi keistimewaan tambahan kepada golongan OKU menerusi tawaran itu, adalah tindakan baik dan satu permulaan positif sebagai sebuah pentadbiran baharu.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa syarikat telekomunikasi yang menyediakan pakej khusus bagi golongan OKU, namun pelan ditawarkan kerajaan itu dianggap lebih menarik.

Katanya, caj, kelajuan internet dan kuota data diberikan menerusi Pakej Perpaduan dapat mengurangkan kos bulanan pengguna.

Mohd Huzaire Ahmad - Gambar dari Facebook POKUB
Mohd Huzaire Ahmad – Gambar dari Facebook POKUB

“Mungkin ramai tidak tahu bahawa OKU yang bekerja sendiri kebanyakan menjalankan perniagaan, khususnya secara online (dalam talian), jadi saya lihat pakej ini dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pendapatan secara langsung.

“Dengan keadaan ekonomi dikhabarkan meruncing pada tahun depan, pakej murah seperti ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan kos sara hidup golongan seperti kami,” katanya kepada Getaran.

Beliau berkata, bagi OKU, telefon bimbit bukan lagi kehendak, sebaliknya keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi digunakan untuk berniaga.

“Pakej diperkenalkan kerajaan ini boleh dimanfaatkan golongan tersebut untuk lebih mempertingkatkan produktiviti dalam perniagaan.

“Dengan internet jalur lebar lebih pantas dan murah, tidaklah kami ketinggalan dari pelbagai sudut serta boleh dijadikan batu loncatan untuk mengukuhkan pendapatan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Huzaire menyarankan supaya pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Komunikasi Digital (KKD) membuat kaji selidik dalam kalangan golongan sasaran, supaya dapat memberikan nilai tambah untuk pelaksanaan pakej tersebut kelak.

“Jika adanya kaji selidik oleh pihak bertanggungjawab, kami sebagai pengguna boleh memberikan maklum balas atau cadangan menambahbaik pakej tersebut,” katanya.

Getaran pada Rabu lalu melaporkan, menerusi pengumumannya, Fahmi berkata, hanya dengan bayaran RM5 sebulan, pelanggan pakej prabayar internet mudah alih Pakej Perpaduan yang akan dilancarkan kerajaan bermula Februari depan, bakal menikmati kemudahan jalur lebar pada kelajuan tiga kali ganda daripada perkhidmatan di pasaran semasa.

Tawaran menarik itu, jelasnya, membolehkan pengguna menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus, berbanding pakej sedia ada, iaitu daripada RM10 sebulan kepada RM5 sebulan.

Katanya, langganan itu dilaksanakan membabitkan kerjasama lima syarikat telekomunikasi, iaitu Celcom-Digi, Maxis, Umobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

Harga dikenakan itu, ujarnya, lebih rendah untuk kapasiti kelajuan berkenaan, berbanding dengan apa ditawarkan ketika ini.

“Pakej Perpaduan ini disasarkan untuk golongan belia, B40, OKU, warga emas dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta veteran polis.

“Dengan hanya RM5 sebulan, golongan itu boleh menikmati kemudahan internet dan komunikasi dengan kelajuan tiga megabit sesaat (Mbps) melalui data 30GB,” katanya pada sidang media.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, pihaknya percaya pengguna akan mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut, memandangkan ia menyasarkan keperluan utama rakyat di negara ini.

Ujarnya, kebanyakan rakyat Malaysia kini bergantung kepada internet untuk menjalankan perniagaan, berkomunikasi dan urusan kehidupan harian.

Justeru, dengan adanya pakej jauh lebih murah dan baik daripada pakej sedia ada, ia dapat mengurangkan kos sara hidup pengguna.

“Ia adalah inisiatif baik untuk pengguna, terutamanya golongan B40 yang mana mereka ini pasti akan terkesan jika berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

“Mereka juga boleh menggunakan inisiatif kerajaan sebegini untuk membuat ‘side income’ (kewangan tambahan) atau sebagainya, bagi menambah pendapatan isi rumah demi kelangsungan hidup masing-masing,” katanya.

Namun, Nadzim yang turut dikenali sebagai Tok Ki itu berkata, kerajaan perlu menaiktaraf liputan jalur lebar di negara ini, supaya penggunaan pakej tersebut boleh digunakan secara optimum.

Jelasnya, walaupun pada dasarnya negara sudah mencapai tahap baik dari segi liputan jalur lebar dan pengenalan 5G, tetapi masalah kekangan internet masih berlaku di kawasan tertentu.

“Jika internet murah, laju dan lebih baik diperkenalkan pun, namun liputannya masih bermasalah, ia tidak akan dapat digunakan sebaiknya.

“Bukan sahaja oleh golongan sasaran, malah rakyat secara keseluruhannya,” katanya. 

Artikel oleh: Getaran.my

RAKYAT TERUS SAMBUT BAIK PAKEJ PERPADUAN, MAMPU KURANG KOS BULANAN

https://www.getaran.my/artikel/semasa/37745/rakyat-terus-sambut-baik-pakej-perpaduan-mampu-kurang-kos-bulanan