Kuala Lumpur: “Saya tidak sangka emas yang dibeli di kedai di sebuah pasar raya beberapa bulan lalu sebenarnya dicampur dengan bahan lain.
“Sebelum ini saya sangkakan beli di kedai yang ada nama ini ada jaminan, tetapi rupa-rupanya bila diperiksa di cawangan Ar-Rahnu YaPEIM, baru saya tahu ia palsu. Saya pula rugi berganda selepas membeli pada kadar penuh,” kata Fatin, 38.
Dua bulan lalu, dia menukar seutas rantai dan gelang emas lama dengan emas 916 berharga lebih RM2,000 di kedai terbabit di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Tidak lama kemudian, dia ingin membuat pajakan ke atas barangan terbabit dan terkejut apabila mendapati ia bukan emas tulen sebaliknya dicampur dengan bahan lain.
Fatin berkata, pada mulanya dia tidak berpuas hati dengan penerangan petugas di kaunter namun selepas diyakinkan itu pemeriksaan menggunakan alat berteknologi tinggi, baru dia sedar sudah ditipu.
“Saya beli di kedai terkemuka, memang tidak terlintas akan kena tipu. Bila saya semak dalam forum perbincangan di laman web, ramai juga yang menjadi mangsa.
“Saya memang langsung tidak tahu mengenai emas palsu ini kerana semuanya nampak sama. Selepas ini, memang saya akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu ia berulang lagi,” katanya yang membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, sejak awal tahun ini, pihaknya menerima enam aduan berhubung pembelian emas palsu dan sudah mengadakan perbincangan dengan pihak industri.
Katanya, hasil perbincangan turut mendapati emas berkenaan dijual secara terbuka sama ada menerusi pembelian terus atau tempahan khas.
“Ada kedai yang menjual emas ini dengan tujuan mengaut untung, mungkin mereka juga ditipu pada peringkat awal. Yang kita bimbang kalau ia dirancang.
“Kami minta pihak berwajib menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan kepada dalang yang memperdaya pengguna terutama golongan wanita,” katanya.
Artikel Oleh : Harian Metro
RAMAI TERKENA EMAS PALSU