Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RAMAI TERKORBAN AKIBAT PEMANDU MABUK BUKTI UNDANG-UNDANG BERKAITAN ARAK PERLU DIPERKASAKAN – GETARAN – 05/02/2022
09 Feb 2022

BANGI – Ikatan Muslimin (ISMA) menggesa kerajaan memperkasakan dan memperketatkan undang-undang sedia ada berkaitan arak atau minuman beralkohol.

Naib Presidennya, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, usaha itu dan pemantauan lebih tegas terhadap pemandu mabuk perlu dilakukan segera berikutan ia memberi risiko kematian kepada insan tidak bersalah.

Menurut beliau, pihaknya menuntut kerajaan menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program yang menghidangkan arak secara umum dan terbuka.

“Kita menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memperkemas undang-undang berkaitan arak dan memperketatkan lagi syarat membeli serta menjual arak, di samping melakukan pemantauan lebih tegas terhadap pemandu mabuk, khususnya pada waktu malam.

“Kita turut menuntut PBT agar tidak membenarkan penjualan arak di kedai serbaneka di kawasan majoriti muslim,” katanya kepada media selepas Pelancaran Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak di Bangi Resort Hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bergabung menerusi kempen itu bagi menggesa penjualan minuman keras secara berleluasa dihentikan di negara ini.

Antara NGO terbabit adalah Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Allieance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Selain itu, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Mohd Noor Azib berkata, mengikut statistik pihak berkuasa pada 2017, sebanyak 212 kemalangan berkait dengan pengambilan arak dan daripada jumlah itu, sebanyak 58 kematian dicatatkan.

Manakala pada 2018, katanya, sebanyak 191 kemalangan dengan 54 kematian direkodkan berpunca daripada pengambilan alkohol secara bebas.

“Rekod tersebut adalah sahih seperti dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Banyak lagi kes seperti pergaduhan, perceraian, keganasan rumah tangga dan penderaan berpunca daripada pengambilan arak, namun tidak dimasukkan secara rasmi dalam rekod pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Azib menjelaskan, kempen tersebut yang berakhir pada 5 Mac depan, bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat Islam dan rakyat Malaysia mengenai kemudaratan arak daripada sudut agama, kesihatan serta undang-undang.

“Antara strategi kempen berkenaan adalah melancarkan petisyen dengan menyasarkan sejuta tandatangan melalui talian dan fizikal dalam membantah penjualan arak secara berleluasa,” katanya. – Getaran, 5 Febuari 2022

Artikel oleh: Getaran

RAMAI TERKORBAN AKIBAT PEMANDU MABUK BUKTI UNDANG-UNDANG BERKAITAN ARAK PERLU DIPERKASAKAN

https://www.getaran.my/artikel/semasa/18796/ramai-terkorban-akibat-pemandu-mabuk-bukti-undang-undang-berkaitan-arak-perlu-diperkasakan