Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘RAWAT’ KELEMAHAN POCA CEGAH JUDI DALAM TALIAN – BERITA HARIAN – 16/10/2023
18 Oct 2023

Gesaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menggesa Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dikuatkuasakan kembali untuk memerangi aktiviti jenayah terancang, termasuk sindiket judi perlu diberikan perhatian ekoran Akta Rumah Judi Terbuka 1953 tidak mampu untuk menumpaskan kegiatan judi haram, terutama beroperasi dalam talian.

Kita wajar melihat cabaran dari aspek keterangan untuk mengemukakan pertuduhan terhadap sindiket judi dalam talian dan kesannya kepada ketenteraman awam yang menyentuh Perkara 149(1)(f) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengakui kesukaran membendung judi dalam talian kerana ia tidak termasuk dalam ruang lingkup Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Pertaruhan 1953.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan beberapa langkah ke hadapan untuk menjejaki dan menumpaskan kegiatan mereka.

Beberapa langkah diperlukan PDRM untuk membanteras kegiatan judi dalam talian ialah menerusi pendekatan dibenarkan POCA kini terhalang akibat keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes ‘Nivesh Nair a/l Mohan’.

Dalam kes itu, Seksyen 4 dan 15B POCA ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan atas sebab merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.

Pendekatan diambil Mahkamah Persekutuan dalam kes itu berbeza dengan penafsiran Seksyen 4 POCA dalam kes Zaidi Kanapiah apabila keputusan majoriti merumuskan majistret masih boleh menjalankan budi bicara secara kehakiman demi memastikan semua perlindungan perundangan, tatacara dan Perlembagaan dipatuhi secara ketat sebelum mengeluarkan perintah reman.

Kelangsungan POCA turut tercabar dalam kes Lei Meng apabila Mahkamah Persekutuan mentafsirkan judi dalam talian simpliciter tidak termasuk dalam skop POCA yang menurutnya terbatas dalam ruang lingkup Perkara 149(1)(a) Perlembagaan.

Pendekatan tafsiran membatalkan Seksyen 4 dan 15B POCA sedangkan terdapat Lembaga Penasihat menurut Perkara 151, pindaan terhadap Perkara 121, kuasa semakan kehakiman tidak dicabut secara mutlak serta POCA dibataskan hanya terhadap tindakan menyebabkan keganasan terancang terhadap orang, harta atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut sedangkan judi haram tersenarai dalam Jadual Pertama POCA adalah bersifat radikal.

Ini kerana matlamat penggubalannya bertujuan untuk mencegah tindakan memudaratkan ketenteraman awam menurut Perkara 149(1)(f) tidak diambil kira.

POCA perlu dilihat sebagai undang-undang digubal Parlimen untuk menjelaskan maksud dan kehendak Perkara 149(1)(f) bagi menangani tindakan memudaratkan ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau memudaratkan keselamatannya selari dengan pertimbangan diberikan dalam kes Zaidi Kanapiah.

Kegiatan judi dalam talian memanfaatkan teknologi moden seperti Facebook, WhatsApp, WeChat dan Telegram serta aplikasi rangkaian persendirian maya (VPN) yang belum ada ketika Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Pertaruhan 1953 digubal.

Sesiapa sahaja mempunyai telefon pintar boleh berjudi tanpa bergantung kepada talian tetap, mudah bertukar nombor untuk elak dikesan dan tidak lagi perlu menyewa premis. Transaksi tambah nilai wang judi boleh dilakukan secara perbankan dalam talian atau mesin ATM.

PDRM kena lindungi peminjam along

Kegiatan itu merentasi sempadan negara dan apabila terjebak ramai ketagihan tanpa mengira status, usia dan taraf hidup. Ketagihan inilah akhirnya menjebakkan mereka dengan along, iaitu pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Malah mengikut maklumat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), ada juga berhutang dengan along untuk berjudi dalam talian. Sumber PPIM menunjukkan ramai penjawat awam turut terbabit dengan along akibat kalah judi dalam talian.

Hutang dengan along mengakibatkan banyak kes ugutan, peras ugut dan gangguan hingga ada kes bunuh diri. Di samping itu, terdapat kes cerai, keganasan rumah tangga, rasuah, kemurungan, buang kerja, pengambilan dadah dan penipuan bergejala.

Pembabitan penjawat awam dengan along perlu diawasi khususnya mereka yang terbabit dengan agensi keselamatan negara. Perlu dikhuatiri rahsia kerajaan boleh terlepas ke pihak tidak berkenaan sekiranya berlaku peras ugut sebagai galang ganti hutang.

Ancaman sedemikian tidak dilihat mustahil kerana ada kejadian peminjam terpaksa menyerahkan gambar bogel sendiri untuk melunaskan bunga.

Data PPIM pada 2022 menunjukkan sebanyak 9,563 aduan dan sehingga Oktober 2023 pula, terdapat 4,302 aduan berkaitan along yang sebahagiannya berpunca daripada perjudian.

Asas digunakan mahkamah untuk mempertikai keabsahan mana-mana peruntukan POCA perlu diperhalusi dengan memasukkan elemen boleh meningkatkan tadbir urus baik, pada masa sama, memberikan keutamaan kepada matlamat pencegahan bagi maksud ketenteraman awam.

Sindiket judi dalam talian menurut Ketua Urusetia (Perundangan) Ketua Polis Negara, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Abdul Rahman Atan, turut mempunyai rantaian dengan sindiket judi konvensional dan along serta aktiviti jenayah lain seperti dadah, pelacuran dan penyeludupan manusia.

Sebagai langkah segera, PDRM disarankan melindungi peminjam daripada ancaman along. Sindiket along pastinya dapat ditumpaskan secara bersistematik sekiranya mereka tidak lagi berani memberikan pinjaman kerana berisiko tidak mendapat bayaran balik pinjaman, malah diburu polis akibat penindasan dilakukan.

Langkah ini secara tidak langsung dapat memutuskan sumber kewangan kepada penagih judi dalam talian dan kegiatan jenayah terancang. Semua pemegang taruh perlu duduk bersama untuk merawat sebarang kelemahan POCA dari aspek penggubalan dan pelaksanaannya.

Di samping itu, mahkamah juga perlu mengutamakan sikap untuk menyampaikan teguran membina dan pendekatan penafsiran secara harmonis sesuai dengan fungsinya diperuntukkan undang-undang.

Penulis adalah Profesor Madya Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Artikel oleh: Berita Harian

‘RAWAT’ KELEMAHAN POCA CEGAH JUDI DALAM TALIAN

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/10/1165810/rawat-kelemahan-poca-cegah-judi-dalam-talian