Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengakui ada seorang yang ditangkap, tetapi bukan suspek kes kebakaran pusat tahfiz itu.
“Jika ditanya ada tngkapan, ya ada. Tetapi ia bukan saspek kebakaran dan hanya membantu siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Sebelum ini, berita mengenai seorang pelajar tahfiz menyelinap keluar dari asrama beberapa jam sebelum kejadian kebakaran ditahan polis untuk siasatan telah tular.
Sementara itu, seorang kakitangan pusat tahfiz itu berkata, remaja yang dibawa melawat ke lokasi kejadian bukanlah pelajar sekolah berkenaan tetapi dipercayai terlibat kes kecurian ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Menurutnya, ibu pejabat PPIM terletak bersebelahan pusat tahfiz dan sedang menjalani proses pembaik pulih.
“Sebelum ini terdapat kes kecurian mesin air layan diri di hadapan pejabat itu dan remaja tersebut adalah penduduk kawasan sekitar kampung ini.
“Demi Allah lelaki itu bukan pelajar tahfiz sebab saya kenal semua pelajar sekolah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE