Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RESOLUSI ATASI PENIPUAN DALAM TALIAN – UTUSAN MALAYSIA – 03/10/2022
04 Oct 2022

MELAKA: Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Majlis Mesyuarat Dewan Negara akan menyerahkan beberapa resolusi kepada kerajaan bagi menangani isu penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, lima mesyuarat yang diadakan setakat ini berjaya merumuskan beberapa pendekatan, bukan sahaja menangani isu tersebut, tetapi juga menyekat daripada berlakunya penipuan dalam talian.

Menurutnya, pihak jawatan kuasa mendapatkan banyak maklumat daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan juga mangsa penipuan daripada Persatuan Siswazah Wanita Malaysia.

Beliau berkata, turut membantu adalah Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dan Persatuan Pengguna Negeri Melaka.

“Hasil daripada pandangan dan maklumat daripada semua pihak dirumuskan dan beberapa syor akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Isu penipuan dalam talian dilihat sangat membimbangkan kerana ia membawa mudarat kepada rakyat termasuk mereka mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Berdasarkan perangkaan yang diperoleh, kes jenayah ini mencatatkan peningkatan. Usaha pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif dan memastikan isu penipuan dalam talian ini dapat diatasi dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, resolusi itu lebih tertumpu untuk memastikan isu penipuan dalam talian dapat diatasi sepenuhnya.

“Hasil daripada siri prosiding dan mesyuarat yang diadakan sebanyak lima kali itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Negara Penggal Ketiga tidak lama lagi,” jelasnya. –UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

RESOLUSI ATASI PENIPUAN DALAM TALIAN

https://www.utusan.com.my/berita/2022/10/resolusi-atasi-penipuan-dalam-talian/