Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RIBUAN PESERTA HADIRI PERHIMPUNAN KESYUKURAN – BERITA HARIAN – 8/12/18
12 Dec 2018

Bh ( ICERD) 8.12.18-01

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat memenuhi Dataran Merdeka hari ini bagi menghadiri perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Berlangsung secara aman dengan kawalan ketat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), himpunan yang bermula selepas solat Zohor itu dihadiri pemimpin utama dua parti, UMNO dan PAS, sekali gus menunjukkan sokongan kedua-dua parti Melayu itu.

Mengenakan pakaian rasmi berwarna putih, himpunan terbesar yang pertama kali diadakan di ibu negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 Mei lalu, turut disertai ribuan anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

Antaranya, penggerak utama NGO yang juga penganjur himpunan, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dan Sekretariat Kedaulatan Rakyat (DAULAT).

Turut serta, anggota NGO yang mewakili Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak melepaskan peluang, personaliti terkenal negara turut hadir berhimpun bagi menyatakan sokongannya menolak ICERD, antaranya, penceramah, Azhar Idrus, pelawak, Abon serta pelakon, Datuk Mustapa Kamal.

Seawal jam 7 pagi lagi, peserta yang hadir dari segenap negeri mula memenuhi beberapa lokasi utama di ibu negara sebelum berarak menuju ke dataran bersejarah itu bermula jam 1 tengah hari.

Antara lokasi awal berhimpun termasuk di pekarangan pusat membeli belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jalan Tun Perak; Jalan Pudu; pekarangan Masjid Negara; Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) serta Jalan Raja Laut.

Pengucapan umum juga dibuat di lokasi terbabit yang disampaikan oleh beberapa pemimpin penggerak NGO dan pelajar.

Bantuan pihak polis yang menutup beberapa laluan di sekitar Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Perak juga melancarkan pergerakan peserta himpunan yang datang dari segala arah laluan utama, untuk menuju ke Dataran Merdeka atau Jalan Raja.

Ribuan peserta yang berarak dari segenap lokasi berhimpun menuju ke Dataran Merdeka juga, melaungkan ungkapan takbir, selawat Nabi dan nyanyian lagu – Inilah Barisan Kita, bagi membangkitkan semangat.

Sebaik peserta memenuhi perkarangan Dataran Merdeka – Jalan Raja Laut, agenda perhimpunan diteruskan dengan aturan ucapan, dimulai wakil NGO, kemudian disusuli pemimpin utama UMNO dan PAS.

Antara yang menyampaikan ucapan umum, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Himpunan berhenti seketika pada jam 4.30 petang dengan perkarangan Dataran Merdeka bergema dengan laungan azan Asar dialunkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Polis juga menutup enam laluan utama di sekitar ibu kota membabitkan Jalan Sultan Hishamuddin, Lebuh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jalan Raja Laut serta bulatan Dato Onn.

Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan pergerakan trafik di sekitar ibu negara termasuk di Jalan Kinabalu, Jalan Ampang, Jalan Tun Razak serta Jalan Mahameru menuju ke ibu kota.

Perkhidmatan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) juga beroperasi seperti sedia kala, sekali gus membantu pergerakan peserta untuk memasuki ibu negara tanpa perlu memandu kenderaan sendiri.

Bagaimanapun, berlaku kesesakan di kawasan Stesen LRT Masjid Jamek sebaik himpunan tamat, berikutan orang ramai berpusu-pusu menaiki perkhidmatan itu untuk pulang.

Seperti biasa, gerai menjual makanan dan minuman di sekitar jalan Tun Perak serta Jalan Pudu dipenuhi peserta himpunan, selain gerai jualan kecil dan trak makanan juga dibuka di sepanjang jalan sama.

Bagi pengamal media, tiada sekatan keluar masuk dilakukan di semua lokasi perhimpunan, sekali gus memudahkan mereka membuat liputan perjalanan himpunan yang bermula seawal jam 7 pagi.

 

Artikel Oleh : Berita Harian

RIBUAN PESERTA HADIRI PERHIMPUNAN KESYUKURAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/12/506892/icerd-ribuan-peserta-hadiri-perhimpunan-kesyukuran