


Kuala Lumpur: RM200 pun terpaksa pinjam along.
Nilai terbabit mungkin dianggap kecil, namun itulah gambaran sebenar betapa parahnya tekanan hidup dihadapi segelintir masyarakat sehingga sanggup terjerumus dengan pinjaman daripada ceti haram.
Itu antara ‘catatan duka’ Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sepanjang tahun lalu yang merekodkan kes pinjaman along masih menjadi antara yang tertinggi sejak 2007.
Setiausaha Kerjanya, Zharif Johor berkata pelbagai cabaran diterima pihaknya untuk membanteras kegiatan along yang semakin ‘berkembang’ sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, secara purata antara 40 hingga 50 aduan berkaitan along diterima setiap hari, membabitkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pekerja buruh dan berpendapatan rendah.
“Sekarang ini, pinjam RM200 pun terpaksa pergi kepada along, ada RM300. Ini jelas menunjukkan tekanan kos sara hidup yang sangat tinggi.
“Dulu kes along biasanya membabitkan jumlah besar, kebanyakannya peniaga.
“Tetapi sekarang, kita terima aduan daripada pengawal keselamatan, buruh, pekerja kecil malah warga asing juga mula terjebak,” katanya kepada Harian Metro.
Zharif berkata, peningkatan kos sara hidup menjadi faktor utama mendorong orang ramai membuat pinjaman segera tanpa memikirkan risiko jangka panjang.
Katanya, walaupun nilai pinjaman kecil, kesannya sangat besar apabila mangsa dikenakan faedah melampau, ugutan serta tekanan berpanjangan daripada sindiket along.
“Kes-kes kecil inilah yang sebenarnya lebih menyedihkan.
Mereka pinjam untuk keperluan asas seperti makan, tambang atau kos harian. Bila tak mampu bayar, mereka jadi mangsa ugutan,” katanya.
Beliau berkata, sejak hampir dua dekad menangani isu itu, corak dan modus operandi along juga semakin berubah dan licik, termasuk penggunaan media sosial dan aplikasi atas talian bagi menjerat mangsa.
Menurut Zharif, keadaan itu membimbangkan kerana sindiket along sentiasa berevolusi dan berpotensi bertindak lebih agresif terhadap mangsa, termasuk tindakan balas atau ugutan melampau.
Beliau berkata, selagi tiada penyelesaian holistik, isu along akan terus berlarutan, khususnya bagi golongan terdesak yang memerlukan bantuan segera.
Zharif menegaskan, pihaknya tidak berputus asa dalam membantu mangsa, namun mengakui cabaran semakin besar apabila sindiket terus mencari ruang memerangkap pengguna.
“Justeru, kita cadangkan kepada pihak berkuasa untuk menambah baik bantuan seperti pusat zakat termasuk di negeri-negeri untuk mempelbagaikan kemudahan sedia ada,” katanya.
Zharif berkata, berdasarkan rekod PPIM, isu membabitkan penipuan pelaburan juga mencatatkan jumlah kes yang tinggi sepanjang 2025.
Menurutnya, semua kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman untuk tindakan susulan.
Beliau berkata, pihaknya menasihatkan pengguna di negara ini agar lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pinjaman atau pelaburan yang berisiko.
“Kita faham, dalam keadaan tertentu, kita tak punya banyak pilihan. Apa yang ada, itulah yang kita cuba.
“Tapi sepanjang PPIM membantu, kita dapati tidak ada yang selamat dari cengkaman along, serta penipuan sindiket,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
‘RM200 PUN ORANG SANGGUP PINJAM, TAHUN 2026 ALONG PULA SEMAKIN LICIK’