Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SAMPAI HATI TINGGAL DANISH – HARIAN METRO – 29/07/2019
29 Jul 2019

“SAMPAI hati dia (ibu kandung) tinggalkan anak sendiri, biarpun anak itu dilahirkan tidak sempurna, namun dia juga memerlukan kasih sayang seorang ibu,” kata Noraini Muda, 43, dari Kampung Laut, ibu angkat kepada Mohd Danish Iskandar Abdul Malik, 13, yang mengalami masalah Cerebral Palsy (CP).

Noraini mula menjaga anak angkatnya itu sejak berusia dua bulan selepas diupah oleh ibu kandung Mohd Danish dengan bayaran RM100 sebulan.

Bagaimanapun, selepas dua tahun, ibu kandung Mohd Danish menghilangkan diri dan tidak mempedulikan anaknya itu.

Menurut Noraini, sejak itu dia dan suaminya, Rozmi Awang, 50, mengambil keputusan untuk menjaga Mohd Danish seperti anak sendiri walaupun ketika itu sudah mempunyai dua anak lelaki berusia lapan dan 12 tahun.

“Pada mulanya kami berasa geram dan marah kepada wanita itu kerana tidak bertanggungjawab dan tergamak meninggalkan anak istimewa itu tanpa sebarang berita.

“Bagaimanapun, kerana simpati dengan nasib Mohd Danish, saya dan suami bertekad untuk menjaganya hingga ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyerahan Sumbangan Program Menyantuni Golongan Asnaf Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di rumahnya di Kampung Laut, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, walaupun keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai nelayan dan sering mengalami kesempitan wang untuk menampung keperluan harian keluarga, namun perkara terbabit tidak mematahkan semangatnya untuk membesarkan Mohd Danish.

“Pada awalnya Mohd Danish bergantung kepada susu khas yang berharga RM80 setin tetapi kerana tidak berkemampuan untuk membeli susu khas itu, kami terpaksa memberikannya susu formula biasa dan bersyukur kerana Mohd Danish tidak mengalami sebarang masalah atau alahan terhadap peralihan itu.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana selepas tiga tahun menjaganya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mula menyalurkan bantuan bulan kepada Mohd Danish sebanyak RM200 dan elaun penjaga sebanyak RM200 sebulan.

“Bantuan bulanan JKM itu sedikit sebanyak membantu kami dalam menyediakan keperluan Mohd Danish, biarpun jumlah itu masih tidak mencukupi tetapi kami tetap bersyukur kerana Mohd Danish tidak perlu berlapar sekiranya saya tidak dapat ke laut kerana faktor cuaca.

“Sejak menjaga Mohd Danish, rezeki dan segala urusan kami sekeluarga dipermudahkan Allah, justeru tiada alasan untuk kami sekeluarga berasa terbeban dengan tanggungjawab yang digalas itu,” katanya.

Menurutnya, ibu kandung remaja orang kurang upaya (OKU) terbabit sehingga kini tidak menyatakan hasrat untuk mengambil Mohd Danish kembali daripada keluarganya.

Jelasnya, dia dan suaminya bagaimanapun tidak sanggup untuk berpisah dengan Mohd Danish kerana bimbang anak angkatnya tidak diuruskan dengan baik seperti yang dilakukan keluarganya.

“Selepas 11 tahun menjaganya, ibu kandungnya datang ke rumah pada awal tahun lalu kerana ingin menguruskan proses pendaftaran dan pembuatan kad pengenalan Mohd Danish di Pejabat Pendaftaran Daerah, itu pun atas arahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.

“Soal sayang nombor dua, tetapi kerana bimbang keperluan dan keselamatan Mohd Danish terabai kami enggan berpisah dengannya dan yakin tiada siapa yang mampu menjaga Mohd Danish seperti kami.

“Mohd Danish hanya makan apabila saya suapkan, jika suami suapkan pun dia tidak makan. Proses untuk menyuap makanan kepada Mohd Danish mengambil masa yang agak lama iaitu selama dua jam.

“Dalam keadaan Mohd Danish seperti itu, saya perlu menguyah terlebih dahulu makanan sehingga separuh hancur sebelum menyuapkan kepadanya dan roti canai ialah makanan kegemaran Mohd Danish,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

SAMPAI HATI TINGGAL DANISH

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/07/480287/sampai-hati-dia