2723) SASAR 10,000 PRODUK TEMPATAN DI PASAR RAYA – UTUSAN ONLINE – 10/5/16
10 May 2016
KUALA LUMPUR 9 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyasarkan lebih 10,000 jenis produk buatan Malaysia berada di semua pasar raya besar seluruh negara menjelang 2020.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, setakat ini jumlah produk buatan Malaysia yang berada di pasar raya besar kira-kira 5,000 jenis produk sahaja dan pihaknya yakin jumlah tersebut boleh ditingkatkan.
Menurut beliau, antara masalah yang dihadapi adalah pengusaha gagal mengekalkan produk keluaran di pasaran sehingga sukar mendapatkan barangan tersebut walaupun ada permintaan daripada pengguna.
“Oleh itu, semua pengusaha tempatan digesa bekerja rapat dengan kementerian supaya kita dapat memberi bantuan secukupnya supaya produk keluaran mereka dapat memasuki pasar raya besar.
“Bagaimanapun harus diingatkan jika mahu meningkatkan jumlah ini, produk tempatan mestilah mempunyai kualiti setanding dengan produk import dan dalam masa sama harga yang ditawarkan juga berpatutan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Belilah Produk Buatan Malaysia 2016 di Pasar Raya Besar Giant Setapak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengarah Serantau Malaysia dan Brunei GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Tim Ashdown.
Dalam pada itu, mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan untuk memberi kelonggaran syarat kepada mana-mana pasar raya besar yang memperbanyakkan produk tempatan dalam premis mereka.
“Kita mewujudkan situasi menang-menang yang bukan hanya memberi kelebihan kepada pasar raya besar sahaja tetapi untuk pengusaha tempatan yang mampu memasarkan produk secara meluas dan berterusan kepada pengguna.
“Bagaimanapun perkara ini masih dalam peringkat perbincangan dan akan diumumkan jika telah mendapat persetujuan semua pihak. Kita sarankan supaya pengusaha mengambil peluang yang sedia ada dan datang ke kementerian untuk berbincang dan memberi pandangan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Ashdown berkata, lebih 600 produk buatan Malaysia daripada 95 pengusaha tempatan boleh didapati di Giant sepanjang kempen tersebut berlangsung.
“Produk tempatan ditawarkan di Giant merangkumi barang keperluan harian dan makanan. Kita akan terus memberi komitmen menawarkan produk mengikut keperluan dan kehendak pengguna.
“Setakat ini, kita telah membuka 127 cawangan Giant di seluruh negara dan akan membuka tiga lagi cawangan pada tahun ini di Jertih, Terengganu; Keningau, Sabah dan Tunjung, Kelantan,” katanya.
Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/
Post Views: 154