Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SASARAN CAPAI KESAKSAMAAN GAJI DIJANGKA TERSASAR HINGGA 2043 – BERITA HARIAN – 19/06/2022
27 Jun 2022

KUALA LUMPUR: Sasaran mencapai kesaksamaan pendapatan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini dijangka hanya mampu dicapai pada 2043 berbanding sasaran awal pada 2030.

Sasaran awal dibuat berdasarkan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), namun terjejas akibat penularan COVID-19 dan dijangka memerlukan tempoh 13 tahun selepas itu untuk direalisasikan.

Penyelidik Kanan DM Analytics, Zouhair Rosli, berkata jurang pendapatan antara kaum Melayu dan Cina di negara ini adalah dalam anggaran RM500 antara 2015 hingga 2020.

Zouhar Rosli ketika membuat pembentangan pada Forum Kemiskinan Rakyat Malaysia Pasca Pandemik anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Kuala Lumpur, hari ini. -NSTP/GENES GULITAH
Zouhar Rosli ketika membuat pembentangan pada Forum Kemiskinan Rakyat Malaysia Pasca Pandemik anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Kuala Lumpur, hari ini. -NSTP/GENES GULITAH

“Gaji dan pendapatan lain, ini (pekerja) yang makan gaji. Disebabkan COVID-19, jurang gaji di antara pekerja Bumiputra dan Cina semasa pandemik melebar sekitar RM500. Jumlah jurang ini sama dengan 2015 dan untuk mencapai kesaksamaan, perlukan 13 tahun selepas tamatnya WKB 2030.

“Maksudnya pada 2043 baru dapat kesaksamaan gaji ini,” katanya ketika membuat pembentangan pada Forum Kemiskinan Rakyat Malaysia Pasca Pandemik anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), di sini hari ini.

Empat lagi ahli panel, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Ketua Pegawai Eksekutif Orphancare Foundation, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J Solomon dan Felo Kanan MTEM, Azlan Awang.

DM Analytics adalah firma perunding dan penyelidikan dasar berpangkalan di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 2017 bagi menyediakan khidmat rundingan dan nasihat dalam isu-isu strategik.

Zouhair berkata, anggaran jumlah pekerja Bumiputera, Cina dan India yang terkesan dengan pandemik adalah kira-kira 4.7 juta orang, masing-masing membabitkan perbezaan jurang pendapatan sebanyak 16 peratus, lima peratus dan sembilan peratus.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, jurang pendapatan ini bertambah buruk susulan pandemik COVID-19. Secara keseluruhan, kita sedar ekonomi sedang beroperasi dengan menggunakan teknologi yang rendah dan hasilnya ialah nilai yang dijana di dalam ekonomi juga rendah.

“Justeru, struktur ekonomi seharusnya diubah di mana pelaburan yang masuk ke negara kita mestilah pelaburan yang berkualiti seperti pelaburan dalam mesin, peralatan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bukan bergantung kepada pelaburan infrastruktur semata-mata,” katanya.

Katanya, jika isu jurang pendapatan itu berjaya ditangani, jurang ekonomi Malaysia mampu dirapatkan kerana majoriti pekerja adalah Bumiputera yang secara tidak langsung akan turut mendapat manfaatnya.

Sementara itu, Solomon berkata, isu kemiskinan pekerja di negara ini timbul berikutan tindakan pemberhentian kerja serta pemotongan gaji yang dicetuskan oleh krisis kesihatan.

“Pandemik COVID-19 mengakibatkan kemiskinan baharu dalam norma baru. Kalau diikutkan, keuntungan yang dijana (majikan) adalah lumayan, tetapi jurang kemiskinan tinggi kerana ada penindasan oleh majikan ke atas pekerja bawahan termasuk pekerja Melayu.

“Lebih memburukkan keadaan, kuasa yang ada pada orang Melayu tidak digunakan untuk membantu orang sendiri,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

SASARAN CAPAI KESAKSAMAAN GAJI DIJANGKA TERSASAR HINGGA 2043

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/967701/sasaran-capai-kesaksamaan-gaji-dijangka-tersasar-hingga-2043