Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SATU JUTA KENDERAAN MUNGKIN TERLIBAT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA – UTUSAN ONLINE – 15/12/17
18 Dec 2017

image

NADZIM JOHAN (lima dari kiri) mengangkat bendera ketika melepaskan konvoi Jelajah Malaya di ibu pejabat PPIM, hari ini. – UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Peningkatan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun diparas membimbangkan dan kini dilihat menjadi satu ‘ancaman’ kepada rakyat negara ini.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie berkata, statistik kemalangan jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu merekodkan sebanyak 521,466 kemalangan yang mengorbankan 7,152 pengguna jalan raya.

Katanya, jumlah kemalangan tersebut melibatkan 521,466 kenderaan dan jumlah itu dijangka mencecah kepada angka satu juta menjelang 2018 jika tiada sebarang tindakan segera dan proaktif diambil.

 “Atas faktor itu, PPJK bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mengambil inisiatif mengadakan satu konvoi motosikal berkuasa tinggi ke seluruh Semenanjung atau Jelajah Malaya bagi mengenal pasti permasalahan dan punca yang mendorong kepada berlaku kemalangan.

“Konvoi selama empat hari bermula esok ini melibatkan seramai sembilan peserta yang akan merekodkan segala penemuan sepanjang jelajah sama ada dalam bentuk visual atau bertulis. Mereka akan bergerak ke selatan tanah air sebelum bergerak ke pantai timur, utara sebelum kembali ke Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat PPJK, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Mengulas lanjut, Mohammad Hisham berkata, jarak keseluruhan perjalanan Jelajah Malaya sejauh 2,572 kilometer (km) dan peserta dijangka menunggang sejauh 634km sehari.

“Dalam setiap satu jam, mereka akan berhenti untuk menulis buku catatan perjalanan mengenai sebaran penemuan punca kemalangan. Mungkin mereka akan siarkannya secara langsung di Facebook PPIM dan PPJK.

“Antara perkara yang mungkin ditemukan sepanjang perjalanan yang boleh mengakibatkan kemalangan adalah seperti objek atas jalan raya, permukaan jalan berlubang, haiwan melintas jalan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya memerlukan masa yang panjang kerana antara punca berlakunya kecelakaan itu adalah disebabkan sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

“Memerlukan satu generasi kerana usaha murni seperti ini memerlukan masa yang panjang. Apa yang mampu dibuat ketika ini cuba dan terus mencuba mengurangkan kadar kemalangan setiap tahun.

“Lihat sahaja langkah yang diambil negara-negara maju dalam mengatasi masalah ini sehinggakan kadar kemalangan di negara mereka kini lebih terkawal,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

“SATU JUTA KENDERAAN MUNGKIN TERLIBAT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA”

Artikel Oleh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-satu-juta-kenderaan-mungkin-terlibat-dalam-kemalangan-jalan-raya-1.573424#ixzz51bF0NGoU

© Utusan Melayu (M) Bhd