Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘SAYA SEDIA BERTEMU JAKIM’ – UTUSAN MALAYSIA – 14/05/2022
21 May 2022

PUTRAJAYA: Saksi utama isu ketidakpatuhan rumah pe­­­nyembelihan haiwan di Australia menegaskan, dia bersedia pada bila-bila masa bertemu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menye­rahkan bukti bagi membukti semua pendedahan tersebut bukan rekaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, saksi yang dikenali sebagai Abdullah berkata, dia bersyukur Jakim melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff memberikan komitmen bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengenai isu itu demi kepen­tingan semua pihak.

Dia yang juga bekas pekerja rumah sembelihan di Australia dan masih menetap di negara itu sejak 17 tahun lalu berkata, dia tiada masalah berbuat demikian malah sanggup datang ke Malaysia supaya pihak berkuasa negara ini mengambil tindakan sewajarnya demi kemaslahatan umat Islam.

“Sebelum saya dipecat baru-baru ini, saya menyedari pe­langgaran protokol halal dan prosedur penyembelihan yang kotor dan jijik di rumah sembelihan itu sejak mula bekerja.

“Sejak itu, saya secara konsisten memberitahu kepada pemantau halal, malah kepada atase Halal Jakim selain pihak Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA)namun tiada tindakan,” katanya semalam.

Selasa lalu, Abdullah muncul buat pertama kali membuat pengakuan secara terbuka dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal sebuah syarikat yang diiktiraf halal Malaysia di Australia menerusi sidang akhbar Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) bersama Sahaba 99, di Kuala Lumpur.

Dalam sidang akhbar itu, dia berpakaian ala ninja dan dialih suara bagi mengelak identiti dikesan.

Pendedahan

Abdullah yang juga imam dan guru agama di Australia mendakwa, selepas pendedahan isu itu pihak majikannya tidak melakukan pembaikan terhadap cara sembelihan yang dilakukan.

Sebaliknya kata Abdullah, dia pula disyaki menjadi dalang membocorkan rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah daripada binatang yang disembelih.

“Haiwan-haiwan ini adalah bangkai dan haram dimakan oleh umat Islam, selain boleh mengakibatkan penyakit kerana haiwan-haiwan itu terdedah kepada jangkitan sekurang-kurangnya tiga jenis bakteria boleh menjangkiti daging bangkai ini dan kemudian dijual kepada rakyat Malaysia, Asia Barat, Singapura dan lain-lain negara,” kata Abdullah. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

‘SAYA SEDIA BERTEMU JAKIM’

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/saya-sedia-bertemu-jakim/