Kuala Lumpur: Terpedaya dengan janji manis lelaki warga asing kononnya ingin mendirikan rumah tangga dan berhijrah di negara lain, seorang wanita berputih mata apabila kerugian hampir RM200,000 apabila ‘kekasihnya’ itu menghilangkan diri sebaik menerima wang berkenaan.
Lebih parah wang terbabit dipinjam daripada along semata-mata kerana percaya tipu helah lelaki hidung belang itu kononnya untuk membuka perniagaan demi masa depan bersama.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Jessica, 31, berkata, dia mengenali individu yang mengaku berasal dari Amerika Syarikat itu kira-kira sebulan lalu menerusi laman Facebook dan tidak mengesyaki apa-apa pada awalnya.
Katanya, selepas dua minggu, dia menghabiskan masa lebih 10 jam sehari untuk melayari Facebook dan bersembang dengan lelaki berkenaan termasuk bertukar-tukar gambar dan mula bercakap mengenai masa depan.
“Ketika itu, saya seperti dilamun cinta kerana percaya dia menyayangi saya seadanya dan ingin berkahwin dengan wanita Malaysia.
“Kebetulan saya pula pernah gagal dalam perkahwinan sebelum ini dan masih belum mempunyai teman lelaki.
“Setiap hari saya berbual dengannya dan semuanya berkisar mengenai masa depan kami selepas berkahwin.
“Dia memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan manakala saya pula hanya seorang pengurus jualan di sebuah syarikat,” katanya ketika membuat aduan kepada Pengarah Unit Banteras Ceti Haram, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Azman.
Artikel oleh : Harian Metro
SEBULAN BERKASIH RM 200,000 LESAP