Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SEGERA KUAT KUASA PELAN ANTI RASUAH GIACC, DPMM BERITAHU KERAJAAN – FREE MALAYSIA TODAY – 21/01/2022
25 Jan 2022

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan segera menguatkuasakan pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang telah dirangka dengan begitu komprehensif oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) dalam membawa negara keluar daripada amalan rasuah yang kini menjadi barah.

Presidennya Abdul Halim Husin, berkata NACP sudah mencadangkan beberapa tindakan proaktif bagi membendung gejala rasuah dan politik wang yang pelaksanaannya perlu disegerakan.

Katanya, antara cadangan telah dibuat GIACC melalui NACP termasuklah peruntukan baharu dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) berkaitan kesalahan oleh syarikat atau individu dalam penjualan projek atau tender kerajaan kepada pihak lain untuk faedah kewangan tanpa melaksanakan projek tender.

“Selain itu, pengenalan peruntukan salah laku penjawat awam, penubuhan agensi bebas dalam menguruskan aset yang dirampas dan dilucuthak, garis panduan yang betul mengenai pelobi dan penandaan kuasa antara menteri dan ketua setiausaha negara juga perlu disegerakan perlaksanaannya,” katanya pada majlis ramah mesra bersama media hari ini.

Katanya, selain itu cadangan GIACC yang perlu disegerakan ialah ketelusan dalam pengisytiharan aset dan dasar pengurusan hadiah oleh ahli pentadbiran termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, DPMM bersama badan NGO Melayu lain juga menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk serius memerangi rasuah secara besar besaran hingga ke akar umbi.

“Kita harus akui bahawa apa jua dasar, pelan tindakan atau halatuju membangun ekonomi negara tidak akan berjaya mencapai sasarannya selagi mana jenayah rasuah ini tidak dibendung. Dalam tempoh 10 tahun antara 2005-2014 sahaja, negara telah kehilangan hampir RM2 trillion daripada aliran wang yang tidak sah. Kita percaya angka ini sudah semakin bertambah sekarang.

“Perlakuan rasuah dan pecah amanah pastinya telah menyumbang kepada peningkatan ketidaksamaan pendapatan, kekayaan dan peluang. Hakikatnya, kenaikan kos sara hidup pada hari ini juga disumbangkan oleh amalan rasuah di setiap peringkat rantaian perolehan kerajaan; daripada kuasa politik, penguatkuasaan, pelesenan, proses tender dan sebut harga, hinggalah kepada isu logistik dan tuntutan bayaran,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri perlu mengambil contoh ketegasan dan keberanian rakan-rakan sejawat beliau dalam ASEAN dan Asia dalam memerangi jenayah rasuah dan penyalahgunaan dadah secara mutlak.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Amirudin Yahya, berkata negara kini tidak lagi mengamalkan demokrasi sebaliknya ia lebih kepada plutokrasi apabila nasib rakyat tidak lagi menjadi agenda keutamaan apatah lagi mahu memikirkan soal memerangi rasuah.

“Negara kita bukan negara demokrasi, negara demokrasi ialah dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat, tapi kita kini negara plutokrasi di mana ia dari rakyat untuk taikun kepada taikun, yang memerintah kita ini hanya proksi sahaja tak memikirkan rakyat, mereka memikirkan bagaimana nak penuhi kantung mereka, perut mereka, harta mereka, semua itu ditentu oleh taikun,” katanya.

Katanya, kerana itu sistem politik negara perlu diubah oleh rakyat.

Artikel oleh: Free Malaysia Today

SEGERA KUAT KUASA PELAN ANTI RASUAH GIACC, DPMM BERITAHU KERAJAAN

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/01/21/segera-kuat-kuasa-pelan-anti-rasuah-giacc-dpmm-beritahu-kerajaan/