Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SEKAT AKAUN FACEBOOK, WEB PROMOSI PERNIKAHAN PERSENDIRIAN – HARIAN METRO – 07/02/2021
08 Feb 2021

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengambil tindakan dan menyekat akaun di Facebook dan laman sesawang yang mempromosikan pengurusan pernikahan secara persendirian.

Ini kerana, ia seolah-olah menggalakkan pernikahan yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa agama serta mengundang masalah lain pada masa depan.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pemerhatian pihaknya mendapati, wujud beberapa akaun di Facebook yang menawarkan khidmat pengurusan pernikahan, termasuk penyediaan dokumen berkaitan.

“Ramai yang akan mengambil jalan tengah melangsungkan pernikahan dengan mereka ini kerana mudah, namun ia akan memberi kesan selepas pernikahan kerana perlu didaftarkan semula, didenda dan sebagainya.

“Lebih malang lagi apabila syarat sah nikah tidak dipatuhi seperti ada saksi atau wali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), urusan nikah juga masih dijalankan di jabatan agama dan tiada alasan untuk pasangan mendapatkan khidmat sindiket.

Katanya, sewajarnya keluarga atau pasangan sendiri merujuk kepada pejabat agama berdekatan untuk melangsungkan pernikahan.

“Perkahwinan dituntut di dalam Islam, sepatutnya ia dilangsungkan dengan kaedah yang diguna pakai secara sah,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

SEKAT AKAUN FACEBOOK, WEB PROMOSI PERNIKAHAN PERSENDIRIAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/672185/sekat-akaun-facebook-web-promosi-pernikahan-persendirian