Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SELARAS CAJ TADIKA ELAK TERLALU MAHAL, LETAK BAWAH KPM – KOSMO – 05/01/2022
08 Jan 2022

PETALING JAYA – Kerajaan diminta menyelaraskan caj tadika berdasarkan kos, prasarana, kecekapan dan keupayaan sesebuah tadika bagi memastikan pendidikan adalah adil untuk semua kanak-kanak.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, caj berbeza-beza ketika ini menyebabkan ada tadika mengenakan kadar yang terlalu tinggi.

“Kita juga berharap agar semua tadika diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) supaya penyelarasan dan pemantauan dapat dilakukan.

“Mungkin juga kita boleh gredkan tadika-tadika yang ada supaya rakyat tidak dikelirukan dengan caj yang dikenakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Ali mencadangkan supaya tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diperkasakan dan dijenamakan sebagai Tadika Nasional.

Jelas beliau, dengan cara itu ibu bapa lebih yakin anak-anak mereka akan mendapat pendidikan yang setanding tadika swasta walaupun caj atau yuran dikenakan adalah rendah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perlu ada garis panduan berhubung caj yang boleh dikenakan oleh tadika.

Menurut beliau, garis pan­duan itu perlu dipatuhi oleh setiap tadika dalam mengenakan caj terhadap ibu bapa atau penjaga supaya tiada pihak boleh mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan.

“Jika tidak, tadika boleh kenakan caj sesuka hati dan mungkin perlu ada satu badan diwujudkan antara kementerian-kemente­rian terlibat untuk mengkoordinasi hal tadika,” katanya.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad pula berpandangan, sudah tiba masa kerajaan masuk campur dan menyusun agenda yang menyeluruh mengenai aspek pendidikan prasekolah.

Kata beliau, tadika swasta perlu dilatih sebagai operator prasekolah yang sebahagian kos opera­sinya dibiayai oleh kerajaan.

Artikel oleh: Kosmo

SELARAS CAJ TADIKA ELAK TERLALU MAHAL, LETAK BAWAH KPM

https://www.kosmo.com.my/2022/01/05/selaras-caj-tadika-elak-terlalu-mahal-letak-bawah-kpm/