Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SEMARAK KEMBALI SEKTOR HARTANAH – HARIAN METRO – 12/06/2020
12 Jun 2020

KESAN penularan pandemik Covid-19, pasaran hartanah tempatan jatuh menjunam dan projek pembinaan turut terjejas.

Menyedari perkara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) baru-baru ini memperkenalkan beberapa insentif cukai bagi merancakkan semula pasaran hartanah tempatan termasuk memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Melalui kempen itu, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta.

Pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai kediaman berkenaan manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman yang berkuat kuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus oleh pihak pemaju.

Kedua, pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah diberikan kepada individu warga Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021. Pengecualian ini dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja untuk setiap individu.

Selain itu, had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah, ketika tempoh program HOC, tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, pihaknya menyifatkan kerajaan mengambil langkah tepat untuk merancakkan kembali perkembangan sektor hartanah.

BEBERAPA insentif diperkenalkan untuk merancakkan pasaran hartanah.
BEBERAPA insentif diperkenalkan untuk merancakkan pasaran hartanah.

“Inisiatif yang diambil kerajaan ini dapat membantu menyelesaikan masalah rumah yang tidak dapat dijual di negara ini berikutan pandemik.

“Langkah ini dapat menarik minat pembeli dengan syarat pemaju dapat nikmati pengecualian ini apabila memberi diskaun sebanyak 10 peratus terhadap hartanah.

“Bagaimanapun, kita harap pemaju tidak mengambil kesempatan menaikkan harga rumah untuk elakkan kerugian susulan diskaun yang ditetapkan ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, bagi pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah diberikan kepada individu warga Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman dilihat dapat menggalakkan transaksi pasaran rumah sekunder.

“Ini tentunya akan menggalakkan pertumbuhan transaksi dan membantu ejen atau perunding hartanah untuk membantu pihak penjual yang ingin mencairkan aset mereka atas sebab tertentu.

“Kita perlu faham ramai penjual dan pemilik terdesak untuk mencairkan aset bagi tangani impak Covid-19. Pengecualian cukai ini dapat memberi keuntungan kepada mereka sebagai modal memulakan perniagaan yang terjejas, katanya.

Menurutnya, menerusi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah, ia dilihat memberi peluang kepada pihak peminjam untuk mempunyai tunai yang lebih.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu menggalakkan pertumbuhan transaksi sekali gus merancakkan pasaran hartanah, katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap inisiatif ini turut diperluaskan untuk membantu sektor komersial yang turut terjejas akibat pandemik ini.

“Perlu diakui ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sektor perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa. Situasi ini mengakibatkan ramai peniaga tidak dapat menjelaskan sewa bulanan dan ini memberi kesan kepada pemilik apabila tiada penyewa.

HARTANAH antara pelaburan masa depan.
HARTANAH antara pelaburan masa depan.

“Menerusi inisiatif ini, ia dapat membantu pemilik sektor komersial yang terdesak mencairkan aset sedia ada, katanya.

Beliau turut memohon kerajaan memperhalusi inisiatif yang diperkenalkan bagi membantu sektor hartanah untuk jangka masa panjang.

“Pandemik ini memberi kesan yang dahsyat kepada semua sektor dan ia memerlukan penyelesaian jangka masa panjang secara menyeluruh.

“Umpamanya kediaman yang menggunakan konsep lifestyle yang mempunyai kemudahan kolam renang, gimnasium dan sebagainya bukan lagi satu keperluan.

“Oleh itu, kerajaan perlu membantu dengan menyediakan jalan penyelesaian jangka masa panjang untuk pastikan sektor hartanah diselamatkan, katanya.

Sementara itu, Presiden REHDA, Datuk Ir Soam Heng Choon dalam satu kenyataan berkata insentif berkenaan dapat membantu meringankan beban pembeli sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil maklum terhadap cadangan kami dalam sesi libat urus sebelum ini, katanya.

Bagi Pengarah Urusan IJM Land, Edward Chong pelbagai insentif kerajaan yang diumumkan dapat merangsang sektor hartanah dan ekonomi.

“Ini adalah berita baik bukan sahaja untuk sektor hartanah tetapi akan memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian nilai industri berkaitannya, katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan meminta satu pasukan ditubuhkan untuk memastikan pemaju tidak mengambil kesempatan dengan langkah yang diperkenalkan kerajaan ini.

“Kita tidak mahu ada pemaju mengambil kesempatan susulan inisiatif diperkenalkan untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik ini.

“Oleh itu, saya cadangkan supaya akta turut diperkenalkan dan mengenakan hukuman berat termasuk senarai hitamkan pemaju yang didapati bersalah, katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

SEMARAK KEMBALI SEKTOR HARTANAH

https://www.hmetro.com.my/PnP/2020/06/588755/semarak-kembali-sektor-hartanah