PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyeragam harga barangan dan pemantauan bekalan barangan di seluruh negara bagi membendung kenaikan harga yang semakin membebankan rakyat.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, penyeragaman harga barangan di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dapat meringankan beban rakyat serta mengawal kadar harga barangan di kedua-dua negeri berkenaan.
“Kita masih melihat harga barang keperluan di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung bagi menampung kos pengangkutan dan penghantaran ke sana kerana kawasan Sabah dan Sarawak yang besar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagi Presiden Lembaga Pelindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang, kerajaan perlu memantau bekalan barangan agar bagi mengelak keputusan bekaalan.
“Bekalan barangan yang berterusan menjamin kestabilan harga. Misalnya harga minyak masak bersubsidi yang sentiasa menjadi isu kerana bekalan yang berputus-putus terutama minyak paket satu kilo yang bersubsidi.
“Bekalan atau pengeluaran oleh pekilang minyak masak yang sama, mengapa ia boleh menjadi kekosongan bekalan?” soalnya.
Jelasnya, agensi kerajaan atau pihak berkuasa sepatutnya mempunyai sistem pengesanan bagi memantau di hujung mana berlakunya kelemahan dan masalah menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran runcit.
Tambahnya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu memantau bekalan tanaman selain memastikan bekalan semua jenis sayur-sayuran di pasaran sentiasa terjamin.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Sebanyak 41 inisiatif dengan peruntukkan RM14.32b dalam BAJET 2022 bagi menstabilkan harga barang dan kos sara hidup rakyat akan dipantau secara langsung oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu mengkaji semula dasar-dasar serta polisi yang ada sedia ada.
“Polisi dan dasar-dasar yang ada sudah tidak sesuai dengan zaman sekarang. Sudah berapa dekad sudah berlalu, polisi dan dasar masih sama lagi.
“Kerajaan perlu mengkaji semula semua polisi dan dasar-dasar. Cari punca yang menyebabkan kenaikan harga barangan asal. Pada masa sekarang, kerajaan memberi penyelesaian sementara sahaja.
“Kita perlu penyelesaian jangka panjang. Kalau kerajaan memberi penyelesaian jangka pendek, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan bila-bila,” katanya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
SERAGAM HARGA, PANTAU BEKALAN BARANGAN
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/seragam-harga-pantau-bekalan-barangan/