Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Walaupun pelantikan ini tidak berlaku secara kelazimannya, sekurang-kurangnya seorang pemimpin telah berjaya dinobatkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Alhamdulillah, kami juga ingin merakamkan rasa syukur kerana institusi diraja yang kita dokong selama ini telah memainkan peranannya secara bijak dan berhati-hati.
Kami juga berharap agar segala persoalan 115 kerusi yang didakwa diraih oleh Pengerusi Perikatan Nasional YB Tan Sri Mahiaddin Yassin dapat dijelaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Bolehkah YAB Perdana Menteri memberi jaminan bahawa bilangan kerusi yang diperolehinya kekal bagi membolehkan negara bergerak ke hadapan? Seterusnya dapatlah negara menyelesaikan masalah rakyat yang kian menderita akibat kos sara hidup yang tinggi.