25 Mei 2017- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan satu sidang akhbar berkenaan dengan kes penipuan pajak hotel di Mekah.
Berdasarkan aduan yang diterima oleh PPIM, mangsa Puan Hajah Kasiah Binti Md Idris mengatakan bahawa beliau dan beberapa orang lagi telah ditipu oleh seorang wanita bernama Puan Saripah Bt. Zainun (Si Penipu). Dianggarkan kerugian Puan Saripah dan 3 orang pelabur lagi pelabur hampir-hampir RM 130,000.00.
Puan Kasiah pada awalnya tidak menyangka bahawa Puan Saripah ini adalah seorang penipu kerana mereka adalah rakan sekuliah. Ditambah pula, penipu ini adalah seorang bekas pekerja Tabung Haji dan pernah berkhidmat di Mekah. Ini yang menambahkan lagi keyakinan mangsa untuk menjadi rakan niaga dalam pajak hotel di Makah.
Difahamkan bahawa Si Penipu mempunyai masalah di Mekah ekoran penipuan yang telah beliau lakukan dan pihak polis disana telah mengeluarkan waran tangkap keatas beliau. Namun, beliau sempat lari ke Malaysia sebelum beliau ditangkap.
Ketua Unit Kawal Selia Umrah, Ustaz Abdul Halim mengatakan bahawa kes ini masih dalam siasatan PPIM dan PDRM. Namun, masih belum ada tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa.
Pada masa yang sama, Ustaz Abdul Halim mengatakan bahawa bukan satu langkah mudah untuk berurusan dengan Kerajaan Arab Saudi dimana kita perlu meneliti setiap perkara agar kita tidak tertipu.
Ustaz Abdul Halim berkata “Perniagaan di Arab Saudi ini bedasarkan percaya. Mereka tidak menggunakan dokumen, resit atau sebagainya. Jika ada, dokumen itu tidak cukup kuat untuk dijadikan bukti.”
“Oleh itu, saya nasihatkan agar rakyat Malaysia yang ingin berunding dengan masyarakat Arab Saudi agar pelajari dan fahami cara perniagaan disana sebelum melakukan apa-apa pelaburan” katanya lagi.
Ustaz Abdul Halim juga berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan dengan segera supaya tiada lagi mangsa akan tertipu sekaligus mengheret beliau kemuka keadilan.
Kepada masyarakat yang mempunyai masalah berkenaan Haji, Umrah dan sebagainya, anda boleh menghubungi dan melaporkan aduan kepada PPIM.