Kuala Lumpur: Dakwaan mengatakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya menjaga golongan peniaga di negara ini adalah tidak tepat.
Ini kerana, kementerian itu perlu memastikan semua pihak di dalam rantaian kepenggunaan disantuni sebaik mungkin demi kebaikan bersama.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia terbukti apabila golongan peniaga diambil tindakan di atas kesalahan yang dilakukan.
“Banyak saman kita keluarkan. Kalau kita jaga peniaga saja, tentu kita tak saman. Jadi kalau ada tuduhan begitu, saya rasa ia tidak tepat,”katanya pada program secara langsung di Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.
Turut serta sebagai panelis gandingan, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Azman Adam.
Ditanya mengenai kenaikan harga mendadak pada musim perayaan, Rosol berkata, perkara itu diberi perhatian kementeriannya dengan pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang diumumkan dua minggu sebelum sambutan.
Katanya, ia salah satu inisiatif KPDNHEP untuk mengawal harga dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.
Turut disentuh di dalam program berkenaan ialah mengenai tindakan diambil kementerian bagi setiap aduan yang dibuat pengguna di negara ini.
“Setiap isu yang dilaporkan kepada KPDNHEP akan diambil tindakan dengan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga hari.
“Pendekatan itu diambil bagi memastikan isu membabitkan pengguna dapat diselesaikan,” katanya.
Justeru, Rosol berkata, pengguna dinasihatkan menyimpan bukti pembelian sebagai dokumen sekiranya berlaku pertikaian mengenai kenaikan harga atau kualiti barang.
“Simpan bukti pembelian kerana penguat kuasa kita boleh periksa dan ambil tindakan.
“Saya nasihatkan pengguna simpan bukti pembelian kerana ia akan memudahkan utusan pada masa depan,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
‘SIMPAN RESIT SEBAGAI BUKTI JIKA BERLAKU PERTIKAIAN HARGA, KUALITI’