Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, mesej ancaman itu dikeluarkan oleh sindiket perjudian setelah kisah Alex disiarkan oleh akhbar ini beberapa hari lalu membuatkan beberapa anggota dragon dan ketua sindiket mengadakan pertemuan untuk ‘mengajar’ PPIM.
“PPIM langsung tidak gentar dengan ancaman yang diberikan oleh sindiket tersebut dan terus komited dalam membongkar pelbagai maklumat melalui media agar sindiket perjudian dapat ditumpaskan.
“Walaupun sebelum ini berpuluh ancaman telah diterima, namun kali ini ancaman itu dibuat oleh beberapa ketua sindiket dan anggota dragon yang ternyata sudah mula takut dengan pendedahan yang dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Nadzim berkata, kewujudan sindiket itu boleh dilihat daripada apa yang berlaku dalam dua tahun kebelakangan ini apabila lebih 38 operasi dilakukan bersama PPIM, namun bilangan pusat judi semakin bertambah daripada 600 kepada 3,500 premis.
Menurutnya, walaupun serbuan dilakukan hari ini, pusat perjudian itu kembali dibuka semula tidak sampai 24 jam sekali gus menunjukkan seperti ada tangan-tangan ghaib di belakang kewujudan premis judi tersebut.