Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SISA HIDUP HABIS DI SINI – METRO – 5/10/2016
06 Oct 2016

SH..

 

Kota Bharu: “Di sinilah tempat saya menghabiskan sisa hidup,” kata seorang warga emas, Hasyim Abu, 80, yang menjadikan sebuah stor di Kampung Padang Bongor di sini, sebagai tempat tinggalnya sejak 30 tahun lalu.

Hasyim Abu yang tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai saudara-mara tinggal dalam keadaan serba daif dan uzur serta meminta belas ihsan jiran terdekat untuk makan dan minum.

Lebih menyedihkan, Hasyim yang tidak dapat berjalan terpaksa membuang air besar dan kecil di tempat tidurnya, selain berkongsi makanan dibawa Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Kelantan dengan beberapa kucing yang mendiami stor terbabit.

Hasyim berkata, kehidupannya berubah sejak 10 tahun lalu apabila rakan baiknya yang dikenali sebagai Deraman meninggal dunia dan bermula hari itu, tiada sesiapa singgah melihat keadaannya yang semakin uzur.

“Sebelum ini, Deraman dan isteri banyak membantu saya termasuk menguruskan makan dan minum, namun selepas mereka meninggal dunia, saya tiada tempat bergantung.

“Pada mulanya dia mahu menghabiskan sisa hidupnya di stor itu, namun selepas anak arwah kawan baiknya itu mahu mengambil alih stor itu, saya mungkin terpaksa keluar dan mencari tempat tinggal lain,” katanya.

Hadir sama, Ketua aktivis PPIM negeri Datuk Seri Dr Fared Abdul Ghani dan Ketua Penyelia Rumah Perantaraan Negeri Kelantan Mohamad Hazlan Saad yang mewakili Pengarah Parol Negeri Kelantan iaitu Raja Mohd Amazon Raja Daud.

Beliau berkata, dia menerima keputusan itu kerana tahu tanah didiaminya milik mereka dan dia cukup bersyukur kerana mereka juga pernah membantunya sebelum ini.

Dia kini buntu memikirkan tempat sesuai sebagai tempat tinggal kerana dengan keadaannya yang tidak dapat berjalan itu amat membataskan pergerakannya.

“Saya berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan kerana saya mahu tempat berteduh walaupun kurang selesa,” katanya.

Sementara itu, Fared berkata, pihaknya cuba membantu warga emas terbabit dengan menghubungi Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih tiada jawapan.

Katanya, walaupun JKM membantu memberikan wang kebajikan sebanyak RM300 sebulan, warga emas itu memerlukan tempat tinggal.

“Pak Cik Hasyim kini menghidap masalah pernafasan dan mengalami penyakit angin pasang menyebabkannya sukar bergerak dan makan. Dia kini hanya mengharap belas ihsan orang yang datang menghulurkan makanan.

“Kami harap JKM dapat membantu Hasyim dengan membawanya tinggal di rumah orang tua bagi memastikan kebajikan makan minumnya terjaga dan diurus dengan baik,” katanya.