Seorang rakan lama saya sering ditertawakan rakan lain setiap kali kami berkumpul kerana keengganannya menggunakan kemudahan Internet untuk kebanyakan urusan seperti pembayaran bil atau khidmat belian dalam talian.
Dia lebih selesa menggunakan kaedah konvensional serta sanggup beratur bagi membuat pembayaran di kaunter atau membeli sendiri di premis perniagaan walaupun terpaksa bertarung dengan kesesakan lalu lintas.
Bagaimanapun, sekarang barulah kami sedar tindakannya itu berasas selepas melihat jumlah kes penipuan perniagaan dalam talian yang semakin parah hari ini.
Daftar e-mel baru menggunakan identiti palsu, masukkan sebarang nombor telefon dan iklankan ‘barang’ untuk dijual dalam talian.
Pengiklan hanya perlu menunggu panggilan atau mesej dan selepas mendapat pesanan dan bayaran dibuat, pengiklan lesap dan barang lain yang dipesan tapi lain yang dihantar, malah bagi kes yang lebih teruk pembeli langsung tidak menerima apa-apa kiriman.
Ini kaedah penipuan paling asas bagi transaksi perniagaan dalam talian. Ia cara paling senang untuk buat duit dan walaupun acap kali dilaporkan media, masih ramai yang diperbodohkan penyangak siber ini.
Buktinya sejak tahun lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima lebih 30,000 aduan berhubung penipuan perniagaan menggunakan platform portal dalam talian.
Pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya boleh mempamerkan iklan sesuatu produk atau barangan tanpa perlu menyertakan bersama nombor pendaftaran syarikat atau sebagainya.
Persatuan Penjual Kereta Kuala Lumpur dan Selangor turut memaklumkan kes penipuan membabitkan jualan kereta terpakai dan sambung bayar hutang kenderaan juga mencatat peningkatan setiap tahun.
Malah, ada juga pihak yang menghasilkan iklan menggunakan gambar dari syarikat lain, kemudiannya mengambil deposit daripada pembeli.
Mereka menggunakan pelbagai taktik dan bayangkan jika seorang ditipu sekurang-kurangnya RM5,000 setiap transaksi, berapa banyak wang yang telah diterima oleh pihak berkenaan.
Saya melihat urus niaga dalam talian masih terdapat banyak kelompangan yang perlu diberi perhatian.
Memang diakui ia banyak memudahkan hidup tanpa perlu bergerak atau membuang masa pergi ke luar kerana semuanya berada di hujung jari kita.
Bagaimanapun, semakin mudah urusan harian kita, semakin mudah jugalah kita menjadi mangsa kepada kemudahan itu sendiri.
Pihak berkuasa perlu lebih serius dalam membanteras penipuan bentuk baru ini.
Memang ada banyak undang-undang untuk melindungi sistem ini tetapi sejauh mana ia membantu jika melihat kepada peningkatan angka kes yang tinggi.
Sebagai contoh, pengendali portal itu sepatutnya meminta individu atau syarikat mengemukakan nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melindungi hak pengguna.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ketika ini belum mewajibkan pentadbir laman web menyemak nombor kad pengenalan penjual sebelum memberi kebenaran mengiklan barang untuk dijual menerusi platform atau tapak pasar dalam talian mereka.
Agensi itu hanya mewajibkan pentadbir laman web untuk menyimpan dan menyelenggara maklumat nama, alamat dan nombor telefon penjual bagi tempoh dua tahun seperti ditetapkan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) khabarnya sudah menyekat 1,990 laman web yang didapati menipu pelanggan sejak Januari 2016 hingga Jun lalu.
Bagaimanapun, yang tidak sedapnya ialah banyak lagi syarikat dan peniaga yang jujur di luar sana menggunakan platform dalam talian untuk berniaga.
Perbuatan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap sistem pemasaran ini semakin pudar dan boleh menjejaskan periuk nasi orang lain.
https://www.hmetro.com.my/minda/3-pagi/2017/07/245035/sisi-gelap-kemudahan-internet