KUALA LUMPUR 14. Okt. – Masyarakat perlu menyokong penuh usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah di negara ini tanpa dikaitkan dengan sebarang isu peribadi melibatkan pegawai tertinggi badan berkuasa itu yang belum tentu lagi kesahihannya. Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, tanpa kepimpinan agresif dan berani yang ditampilkan oleh Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, sudah tentu kes-kes perjudian dan pelbagai kegiatan rasuah semakin merebak di seluruh negara.
Justeru, katanya mana-mana individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti-parti politik perlu menghentikan segera dakwaan sedemikian kerana ia akan menimbulkan fitnah melampau dalam kalangan rakyat. “Semua masyarakat perlu memahami keadaan dan tanggungjawab SPRM. Kalau seorang pemimpin seperti Tan Sri Dzulkifli sendiri tidak disokong oleh ramai disebabkan berita yang belum tentu sahih, sudah tentu lebih banyak pusat perjudian, pusat hiburan serta gejala rasuah Semakin merebak.
“Saya yakin perkara sebegini (fitnah) sering berlaku sekiranya ada seseorang ingin melakukan perubahan kepada masyarakat dan negara untuk menumpaskan birokrasi di dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohannad Fuzi Harun dilaporkan berkata, pihak polis akan menyiasat dakwaan bahawa seorang pegawai kanan SPRM cuba memikat isteri orang dengan tersebarnya satu rakaman video di laman Youtube. Dalam pada itu, Muhammad Yusuf berkata, beliau tidak menolak penyebaran video berkenaan bertujuan menjatuhkan karier Dzulkifli dengan cara menyerang secara peribadi hanya kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya menumpaskan ramai individu yang terlibat dengan rasuah.