Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, suruhanjaya itu akan bertindak dengan lebih serius dan agresif terhadap siapa sahaja yang terlibat termasuk pihak yang melindungi sindiket judi haram berkenaan.
Tegas beliau, aktiviti judi haram dilihat mempunyai implikasi besar kepada masyarakat di negara ini terutama umat Islam kerana ia menjurus kepada masalah sosial.
“Sudah tiba masa untuk kita mengambil tindakan terhadap pemberi atau penerima rasuah dalam isu judi haram ini. SPRM melihat dari sudut penguatkuasaan longgar yang semestinya terdapat isu-isu rasuah yang boleh dilihat oleh SPRM dengan lebih fokus.
“Kita juga melihat dari segi isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan operator judi haram yang dilindungi oleh pegawai penguat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Gerakan Basmi Aktiviti Haram (GBAH) di Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Pada perjumpaan itu, GBAH menerusi Pengerusinya, Masridzi Sat menyerahkan satu memorandum kepada Dzulkifli bagi menyatakan sokongan terhadap ketegasan SPRM dalam mencegah rasuah di negara ini.
Gerakan itu memayungi kira-kira 500 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia) dan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela).
Memorandum itu turut menyatakan kesediaan GBAH untuk menjalankan kerjasama dengan SPRM dalam usaha membasmi gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Mengulas lanjut Dzulkifli berkata, maklumat yang diperoleh daripada pihak NGO seperti GBAH akan digunakan untuk tindakan sewajarnya oleh pihak SPRM