Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
STATUS HALAL: PASTIKAN BUKAN SEKADAR ‘JANJI MANIS’ – UTUSAN MALAYSIA – 11/10/2022
11 Oct 2022

PETALING JAYA: Badan pensijilan antarabangsa perlu mengukuh­kan jaminan bahawa insiden da­ging tidak halal yang terjadi sebelum ini tidak akan berulang bukan sekadar janji daripada Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) sahaja.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sekadar jaminan daripada SICHMA tidak me­ngukuhkan bahawa insiden sama tidak akan berulang pada masa hadapan.

Menurut beliau, sebuah organisasi Islam antarabangsa perlu dipertanggungjawabkan untuk meneliti insiden penyembelihan cara salah itu bagi memastikan pemeriksaan dibuat mengikut syariat agama.

“Bila kita dah biasa mencuri, macam mana pula tetiba boleh menjadi polis? Jadi ia tak berapa sesuai apabila orang yang diketahui buat salah diberikan peluang pula untuk memberi pendapat. Macam mana kita nak pegang jaminan daripada mereka?

PERIKSA

“Kita mahukan badan pensijilan atau organisasi Islam di pe­ringkat antarabanga yang boleh memeriksa aktiviti persembelihan di sana, adakah ia mengikuti aturan Islam atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, SICHMA memberi jaminan untuk mengkaji semula operasi selain mengetatkan lagi proses dan prosedur pematuhan halal rumah sembelihan di bawah seliaan badan pensijilan halal luar negara itu.

Ini susulan daripada pendedahan Utusan Malaysia pada April lalu, status halal sebuah rumah persembelihan di Australia iaitu Thomas Food Industries (TFI) apabila prosedur didapati tidak mengikuti syariat Islam apabila mereka melemaskan haiwan dalam takungan darah.

Laporan tersebut dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar yang menunjukkan insiden tersebut dan pengakuan terbuka oleh bekas penyembelih di rumah sembelihan berkenaan, Malaysia juga membuat keputusan untuk menggantung serta merta kelulusan import daging daripada TFI sehingga siasatan menyeluruh selesai.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, jaminan tersebut sepatutnya dilakukan daripada dua kerajaan iaitu, Malaysia dan Australia.

“Perkara ni perlu ada campur tangan antara kerajaan ke kerajaan, baru kita yakin bahawa insiden ini tidak akan berulang. Sekiranya hanya daripada pertubuhan sahaja ia masih mewas-waskan.

“Jaminan daripada SICHMA bukan menjadi satu tanda aras untuk sebuah standard pematuhan, ia tidak mencukupi. Ini isu berkaitan halal haram, ia adalah perkara yang amat penting buat umat Islam,” katanya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

STATUS HALAL: PASTIKAN BUKAN SEKADAR ‘JANJI MANIS’

https://www.utusan.com.my/berita/2022/10/status-halal-pastikan-bukan-sekadar-janji-manis/