Mangsa Ahlong kali ini adalah seorang isteri yang terpaksa menanggung bebanan hutang suaminya, seorang pengecut yang melarikan diri tanpa khabar berita selepas menerima pinjaman Ahlong sebanyak RM8,000.
Sepanjang ketiadaan suaminya selama 5 bulan ini, mangsa terpaksa meminjam daripada 15 orang Ahlong yang lain bagi melangsaikan pijaman Ahlong suaminya. Ugutan daripada Ahlong mengancam nyawa dan keselamatan mereka sekeluarga. Suaminya juga kerap melakukan kekasaran setiap kali meminta duit daripada mangsa sebelum menghilangkan diri.
“Suami saya tiap kali balik rumah dia akan mabuk dan minta duit pada saya. Belum sampai tengah bulan duit gaji dia mesti habis dibelanjakan. Kalau saya tak bagi duit pada suami, dia paksa saya gadai barang kemas, minta kad bank saya, dia pukul saya sampai saya buat laporan polis.”- mangsa.
Namun, pihak berkuasa tidak mampu mengambil apa-apa tindakan ke atas aduan yang telah dilakukan. Hal ini kerana kesilapan mangsa yang tidak membuat pemeriksaan diri di klinik berdekatan bagi kes keganasan rumah tangga.