Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SUAMI CABUT LARI, ISTERI DIBURU 6 ALONG – HARIAN METRO – 12/1/2017
12 Jan 2017

METRO12.1

Kuala Lumpur: “Dia yang pinjam, saya pula tanggung susah. Tak sangka dia tergamak guna nama saya untuk meminjam along dan hilang tanpa dikesan.

“Apapun, saya mesti teruskan hidup demi anak. Saya memang tak tahu nak buat apa dan terpaksa meminjam untuk menjelaskan hutang dengan along lain,” kata Anita, 40-an seorang suri rumah yang kini diburu enam along yang meminta bayaran RM40,000.

Dia kini terpaksa mengambil alih tugas menjaga lapan anaknya apabila suami menghilangkan diri sejak enam bulan lalu.

Paling dirisaukan, dia kini berada dalam senarai dikehendaki kerana hutang belum dilunaskan dan pada masa sama, dia pula meminjam dengan along lain sebagai jalan keluar.

“Saya suri rumah sepenuh masa. Sebelum ini, suami sara kami sekeluarga. Kini saya mengambil alih semua tugas termasuk perbelanjaan sekolah anak,” katanya ketika menerima kunjungan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi, semalam.

Anita berkata, sebagai ibu, dia bimbangkan keselamatan anaknya terutama apabila menerima ugutan rogol dan bunuh daripada along, baru-baru ini.

Dia yang kelihatan sugul dengan nasib menimpa keluarganya membuat aduan kepada PPIM bagi mengelak keadaan bertambah buruk hingga menjejaskan masa depan anaknya.

Sementara itu, Yusuf berkata, berdasarkan semakan awal, pihaknya mendapati pinjaman berkenaan dibuat suami Anita tanpa kebenarannya pertengahan tahun lalu dan menghadapi masalah bayaran balik.

Katanya, PPIM sudah berhubung dengan semua along berkenaan dan akan merujuk kes terbabit kepada polis kerana mempunyai unsur ugutan bunuh.