KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mengkaji dan menyemak semula kelulusan syarikat-syarikat swasta berkaitan pekerja kilang yang didakwa menjadi dalang di sebalik sindiket membawa masuk pekerja asing di negara ini.
Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa sindiket-sindiket ini berselindung di sebalik syarikat tempatan yang mana pengarah atau pemegang syer adalah rakyat tempatan.
Mereka ini mengaut keuntungan berbillion ringgit dan menyebabkan negara kerugian dari segi kutipan hasil cukai, selain pengaliran keluar wang tunai dari negara tanpa pengetahuan kerajaan.
Menurutnya, sejak tahun 2015, terdapat syarikat swasta yang menguruskan pengambilan pekerja asing melalui satu sistem yang dibangunkan oleh syarikat tersebut dan disambungkan dengan sistem di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Syarikat ini bertindak seolah-olah membantu kerajaan dalam urusan pengambilan pekerja asing ke dalam negara tetapi turut mengutip hasil jutaan ringgit di negara sumber pekerja asing yang terlibat.
”Syarikat ini berurusan dengan sindiket di negara sumber untuk mengutip bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 untuk satu pekerja bagi melayakkan mereka bekerja di Malaysia.
”Mereka dijanjikan dengan bayaran gaji yang lumayan di Malaysia dan sanggup menjual tanah, rumah, ternakan dan aset yang mereka miliki untuk membayar kos kepada sindiket.
”Kebanyakan mereka yang datang adalah dari golongan miskin dan hanya bekerja sebagai petani dan buruh biasa di negara asal mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Nadzim berkata, PPIM membawa isu ini kerana terdapat aduan daripada kedutaan yang mendorong PPIM untuk mengetengahkan isu ini supaya dapat ditangani segera.
Lagipun, kerakusan sindiket ini mengaut keuntungan menyebabkan pekerja dan majikan mengalami kerugian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kemanusiaan Rakyat Malaysia, Siraj Jalil yang hadir dalam sidang media itu berkata, baru-baru ini Amerika Syarikat telah menyekat import sarung tangan getah dari negara kita disebabkan tuduhan kilang-kilang ini menggunakan buruh paksa.
Menurut beliau, kilang-kilang ini terpaksa mengambil pekerja dari sindiket bagi menampung kekurangan pekerja.
”Sindiket ini amat cekap mencari pekerja dari kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan membekalkan pekerja kepada syarikat-syarikat yang memerlukan.
Sindiket ini mengambil jalan mudah dengan membekalkan PATI disebabkan keadaan mereka yang terdesak akibat tidak mendapat pekerjaan dan gaji seperti yang dijanjikan.
Bagaimanapun, dakwanya pekerja ini ditindas dengan tidak dibayar gaji yang mencukupi, sebahagian gaji mereka diambil sindiket, tidak mendapat kemudahan kesihatan dan banyak lagi.
Menurut Laporan Pemerdagangan Orang 2021 (TIP – Human Trafficking) kedudukan Malaysia telah menurunkan dari Tahap 2 kepada Tahap 3 yang mana menurut Siraj, kedudukan tersebut adalah yang paling teruk dan adalah setara dengan negara lain seperti Burma, Rusia, Iran dan banyak lagi.
Laporan TIP setebal 644 muka surat mengenai Malaysia secara khusus menumpukan pada sektor pembuatan sarung tangan dan perladangan.
Lantaran itu, beliau menggesa pihak kerajaan supaya mengkaji dan menyemak semula isu kelulusan syarikat swasta berkaitan pekerja asing berikutan tuduhan dari negara sumber seperti Bangladesh, Indonesia dan Nepal.
Jelasnya, Malaysia perlu mengutamakan pekerja tempatan dan semua pihak perlu memainkan peranan dalam menjayakan usaha ini dalam masa yang sama dapat memulihkan ekonomi negara.
Sementara itu, seorang peguam, Nur Fazrin Ahmad berkata, kebanyakan kes di mahkamah yang melibatkan isu pendatang ini kebanyakkan pertuduhan hanya tertumpu kepada PATI itu tetapi pihak majikan dan sindiket terlibat terlepas.
Justeru beliau menyarankan supaya tindakan tegas turut diambil kepada pihak majikan serta sindiket yang menjadi dalang kepada masalah ini.
PPIM juga menyeru kepada semua pengguna supaya memainkan peranan yang penting dalam usaha bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Artikel oleh: Malaysia Gazette
SYARIKAT AMBIL PEKERJA DIDAKWA DALANG SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA