KUALA LUMPUR, 3 Jun — Seorang pemimpin masyarakat seperti menteri atau wakil rakyat yang dipilih harus memiliki tiga sifat asas utama iaitu sifat kemanusiaan, kredibiliti dan kompeten.
Malangnya bekas pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman “bukan sahaja tidak mempunyai keupayaan atau ciri-ciri pemimpin rakyat yang baik, malah beliau tidak layak menerajui syarikat GLC,” menurut ketua aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Kata Nadzim, seorang pemimpin yang baik harus ada ketiga-tiga sifat tersebut sebagai asas kepimpinan selain kebijaksanaan dan ketelusan dalam menjalankan tugas.
“Saya lihat beliau hanya pandai menambah aset keluarga dan terbukti dengan banglo mewah keluarganya tetapi gagal menjalankan amanah yang diberi rakyat, apabila kita lihat cara beliau menjalankan tugasnya,” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini.
Tambah Nadzim, apabila berlaku perkara seperti kejadian kemalangan tren baru-baru ini, perhatian seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa tertumpu kepada tindakan dan tindak tanduk pemimpin masyarakat.
“Pendekatan sambil lewa dan tidak sensitif oleh Tajuddin memalukan negara dan menyakitkan hati pengguna. Syabas atas pemecatan beliau,” katanya. Tajuddin dipecat sehari selepas mengadakan sidang media berkenaan kemalangan dua tren Aliran Transit Ringan (LRT) kendalian Prasarana, dimana beliau dikatakan menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak menghormati nasib mangsa-mangsa kejadian tersebut.
Seterusnya Nadzim menasihati pihak bertanggungjawab lebih berhati-hati dalam memilih peneraju syarikat berkepentingan awam terutama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Tambahnya lagi, “Rakyat juga harus memainkan peranan ketika pilihanraya. Pilihlah calon pemimpin yang dipercayai, lebih bertanggungjawab dan jangan pangkah membuta tuli.
“Akibat daripada kealpaan, rakyat juga yang akan mendapat kesannya dimasa hadapan.”
Nadzim turut mengingatkan kepada semua pemimpin masyarakat yang lain termasuk para menteri supaya membuat penilaian semula dan mendalami tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Lihatlah permasalahan rakyat di bawah dan jangan terlalu sibuk memenuhkan poket sendiri sahaja tanpa memikirkan nasib rakyat yang mengundi mereka,” katanya.
Artikel oleh: Wacana.my
TAJUDDIN TIDAK LAYAK MEMIMPIN – PPIM