TIADA laporan rasmi dikemukakan kepada Kementerian Luar atau Jabatan Protokol yang mengendalikan hal ehwal perwakilan asing berhubung dakwaan rakyat Malaysia diganggu secara seksual oleh beberapa diplomat asing.Menerusi kenyataan Kementerian Luar, pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan gangguan secara seksual itu melalui sumber kedua.
“Justeru, kementerian memandang serius tuduhan gangguan seksual berkenaan terutamanya yang membabitkan kor diplomatik di Malaysia.
“Mana-mana individu menjadi mangsa jenayah oleh mereka yang dilindungi di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 perlu menggunakan mekanisma sedia ada untuk mengemukakan aduan kepada Kementerian Luar,” kata kenyataan itu dikeluarkan di Putrajaya, hari ini.
Selain talian telefon selepas waktu pejabat, individu yang terbabit juga boleh menggunakan saluran emel webmaster@kln.gov.my untuk menyampaikan aduan mereka.
“Kementerian memberi menjamin, walaupun ada kekebalan, namun masih ada jalan penyelesaian yang dapat memelihara kepentingan pengadu.
“Berikutan itu, kementerian akan menyusul tindakan ke atas tuduhan yang serius ini hingga ke penyelesaian,” katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/06/236524/tak-terima-laporan-rasmi