Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TAMBAH BAIK KUALITI PERKHIDMATAN AWAM – KOSMO – 17/06/2022
24 Jun 2022

ISU kesesakan pada masa ini bukan sahaja diterjemahkan di jalan raya, malah melibatkan pelbagai perkhidmatan pengangkutan awam lain.

Rangkaian utama pengangkutan awam di negara ini terutama Lembah Klang adalah bas, teksi, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

Tidak dinafikan, pengangkutan awam merupakan aset pen­ting bagi meningkatkan tahap aksesibiliti masyarakat untuk ke sesuatu tempat.

Kemudahan itu berupaya memberi impak besar dalam memastikan keberkesanan sistem aliran agar pergerakan masyarakat setempat berjalan lancar dan sempurna.

Walau bagaimanapun, ke­belakangan ini, antara dilema yang dihadapi oleh sebahagian besar pengguna terhadap per­khidmatan tersebut adalah kelewatan dan tergendala.

Perkara itu kembali dibangkitkan dengan beberapa insiden melibatkan LRT mengalami masalah teknikal dan bekalan eletrik menyebabkan ia tergendala.

Bukan itu sahaja, masalah kelewatan bas dan tambang teksi mahal juga membuatkan ramai yang bimbang jika mereka terpaksa menghabiskan masa dan wang ringgit hanya untuk menguruskan perjalanan terutama ke tempat kerja.

Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang perbelanjaan dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal dihadapi.

Masalah kelewatan untuk ke tempat kerja menjadi isu utama akibat daripada kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut.

Hal ini kerana, kebanyakan warga kota menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja.

Tinjauan Kosmo! di laman sosial juga mendapati rata-rata orang ramai menganggap pe­ngangkutan awam kini tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktunya.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, kadar peningkatan kesesakan di jalan raya sedikit sebanyak merupakan impak daripada keberkesanan yang rendah terhadap penggunaan pengangkutan awam.

“Perkara itu terjadi kerana terlalu banyak masalah yang dihadapi oleh sesetengah perkhidmatan. Pengurusan perlu lebih peka serta memahami keperluan masyarakat.

“Dari segi kadar kekerapan (frekuensi) dan ketepatan masa sudah pasti perlu diambil kira memandang kebanyakan daripada mereka menggunakan perkhid­matan tersebut untuk ke tempat kerja,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut beliau, selain itu, aspek penyelenggaraan dan menaik taraf juga perlu dilaksanakan dengan menyeluruh supaya kualiti perkhidmatan diberikan berada pada tahap yang baik sekali gus menggalakkan lebih ramai orang untuk menaiki pe­ngangkutan awam

Justeru, kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan kelemahan yang membelenggu perkhidmatan pengangkutan awam dapat diatasi segera.

Artikel oleh: Kosmo

TAMBAH BAIK KUALITI PERKHIDMATAN AWAM

https://www.kosmo.com.my/2022/06/17/tambah-baik-kualiti-perkhidmatan-awam/